KUALA LUMPUR: Program SME Bank XCESS 2022 diperluas dengan membuka peluang kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, pihaknya cuba memasukkan elemen baharu pada setiap edisi dan pada tahun ini, SME Bank XCESS 2022 membawa penyertaan rakan-rakan usahawan dari luar negara seperti Thailand dan Jepun di bawah teras Kerjasama Melangkaui Sempadan.
“Selain itu, para peserta juga berpeluang menerokai peluang-peluang baharu melalui platform dalam talian ASEAN Access, sebuah portal yang berfungsi sebagai akses untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN mendapatkan maklumat mengenai perdagangan dan peluang ke pasaran negara-negara ASEAN.
“Usaha ini adalah untuk membantu usahawan PKS tempatan yang berminat, mencari tapak menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, kita juga membuka peluang kepada usahawan-usahawan dari luar sana untuk menembusi pasaran negara sama ada secara perkongsian atau persendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian SME Bank XCESS 2022 dan Penerimaan Penyertaan Program Umbrella SME Bank, yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, di sini semalam.
Majlis turut menyaksikan acara Menandatangani Penerimaan Penyertaan Program Umbrella SME Bank dengan lapan syarikat Anchor antaranya Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Ayamas Shoppe Sdn. Bhd., Chatime Malaysia Sdn. Bhd. dan Bubblebee Sdn. Bhd.
Aria Putera berkata, program Umbrella adalah satu bentuk kerjasama antara SME Bank dan syarikat Anchor untuk membolehkan usahawan yang berminat menyertai suatu model perniagaan yang telah pun bertapak kukuh dalam pasaran sekali gus meminimumkan risiko kegagalan perniagaan.
“Peserta program akan dibiayai oleh SME Bank, selain turut berpeluang mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat secara percuma oleh Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR).
“Sejak Program Umbrella SME Bank ini diperkenalkan pada 2019, SME Bank telah meluluskan 24 pembiayaan yang bernilai RM11.6 juta. Statistik menunjukkan 60 peratus peserta program merekodkan peningkatan daripada segi keuntungan dan hasil,” ujarnya.
Sementara itu, Noh berkata, prestasi eksport PMKS pada 2021 telah kembali menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan sumbangan eksport 11.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.
“Secara keseluruhannya, eksport sektor PMKS telah meningkat kepada 5.4 peratus dengan nilai sebanyak RM124.3 bilion.
“Tindakan membawa masuk rakan dagangan luar negara adalah langkah yang tepat dan semua PMKS yang menyertai SME Bank XCESS 2022 harus merebut peluang ini untuk memasuki pasaran baharu dengan lebih cepat dan berkesan. Tambahan pula, platform dalam talian ASEAN Access akan memberi saiz pasaran yang amat luas untuk usahawan PKS negara terokai,” ujarnya. – UTUSAN