PETALING JAYA: Sasaran untuk bermain di Asia yang sering dilaungkan pada permulaan kempen Liga Malaysia (Liga M), kekal menjadi satu angan-angan.
Kemerosotan prestasi dipamerkan Selangor FC (SFC) musim ini menyaksikan sasaran berkenaan mungkin perlu ‘dibawa’ pada musim depan.
Tahun keenam tanpa sebarang kejuaraan menjadi satu tamparan besar kepada bola sepak Selangor yang suatu tika dahulu merupakan gergasi bola sepak Malaysia yang digeruni.
Perbelanjaan berpuluh juta ringgit setahun nyata ‘hangus’ tanpa mendatangkan sebarang kejayaan atau piala.
Salah siapa? pengurusan, kejurulatihan, pemain ataupun penyokong yang dilihat masih terbuai-buai dengan kejayaan lampau.
Selepas mengharungi 15 perlawanan, Red Giants kini berada di kedudukan kesembilan Liga Super dan adakah ‘deja vu’ musim 2018 menamatkan saingan di tangga kelapan akan kembali berulang sekali gus menamatkan saingan dalam kedudukan terburuk.
Kali terakhir skuad Gergasi Merah Kuning memenangi kejuaraan liga adalah pada tahun 2010 manakala piala pada 2015 iaitu Piala Malaysia ke-33 buat Selangor untuk kekal pasukan paling banyak merangkul gelaran berkenaan.
Bagaimanapun, kekalahan 1-0 kepada Petaling Jaya City (PJ City) yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan, malam kelmarin terus menyemarakkan lagi ‘api’ kemarahan penyokong Selangor yang kecewa dengan prestasi ‘hambar’ pasukan kesayangan mereka.