Rayuan kes Najib: Firma guaman Zaid Ibrahim nafi akan tarik diri - Utusan Malaysia

Rayuan kes Najib: Firma guaman Zaid Ibrahim nafi akan tarik diri

ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) menafikan pihaknya akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir sekiranya Mahkamah Persekutuan tidak memberikan penangguhan pendengaran itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zaid Ibrahim turut menyatakan, firma guamannya tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berbuat demikian sewaktu pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan, Rabu lalu.

“Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners tidak pernah membuat sebarang kenyataan bahawa firma ini akan menarik diri sewaktu pengurusan kes dijalankan dalam kamar. Kami tidak mengabaikan anak guam kami. Sebarang laporan media yang menyatakan sedemikian adalah dikesali.

“Firma saya bersetuju untuk mengambil alih kes ini kerana anak guam kami, Datuk Seri Najib mempunyai rungutan yang sah (letigimate grievance) berhubung sabitannya terutamanya yang membabitkan kedaulatan undang-undang, undang-undang berhubung berat sebelah dan konflik kepentingan.

“Ia merupakan satu tugas yang mulia dipikul oleh mana-mana peguam dalam mewakili anak guam. Dalam berbuat demikian, saya tidak membuatkan keputusan awal dalam kes ini sebagaimana peguam-peguam lain. Membuat keputusan merupakan bidang kuasa mahkamah. Kami sebagai peguam mempunyai tugas untuk membentangkan kes anak guam kami dengan sebaik-baiknya,”kata Zaid.

Zaid dalam kenyataan tersebut turut menyifatkan laporan berita bahawa peguam akan menarik diri adalah `nakal’, tidak betul dan tidak tepat.

“Saya tidak pasti sumber berita berkenaan. Saya juga terkejut bagaimana kenyataan tersebut dibuat hampir sebaik sahaja pengurusan kes yang dijalankan secara dalam kamar selesai,”katanya.

Tambah Zaid, beliau kesal dengan laporan yang didakwa sebagai satu serangan kelas terendah kepada firma guamannya dan dirinya secara peribadi.

Menarik diri

Pada Rabu lalu, media melaporkan bahawa barisan peguam Najib diramal akan menarik diri sekiranya Mahkamah Persekutuan tetap meneruskan pendengaran rayuan akhir berhubung sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu selepas didapati bersalah dalam penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

ZIST dilantik oleh Najib pada 25 Julai lalu bagi menggantikan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, manakala peguam, Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam bela utama menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Zaid menafikan tindakannya mengambil alih kes itu pada saat akhir bermotifkan duit.

“Saya ingin tegaskan sepanjang karier saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah bekerja dengan bermotivasikan duit atau kedudukan. Apa yang penting adalah keadilan. Selain itu adalah sesuatu yang tidak munasabah bahawa tiada sebarang justifikasi boleh diberikan dalam menukar peguam pada saat akhir,”ujarnya.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) turut mengkritik dakwaan bahawa Najib menukar peguamnya pada saat akhir dan melantik firma guamannya adalah untuk melewatkan kes.

“Ini adalah kali pertama Najib bertindak demikian. Jika dibandingkan dengan kes berprofil tinggi yang lain, kes ini mengambil masa yang lebih singkat berbanding kes-kes sebelum ini.

“Saya percaya firma ini telah membawa perspektif yang baharu dalam kes ini. Kami hanya fokus kepada prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip asas perundangan dan fakta dalam permohonan kami agar kes ini dibicarakan semula dan pendengaran rayuan akhir,” kata Zaid.

Didakwa

Zaid yang pernah didakwa mengeluarkan kenyataan jelik berhubung pernyataannya yang menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tujuh tahun lalu turut menyatakan akan terus mewakili bekas Presiden UMNO itu  selagi mana diberi kepercayaan.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya