Prestasi Malaysia di AUG 2022 sangat cemerlang

Prestasi Malaysia di AUG 2022 sangat cemerlang

Skuad wushu negara dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara berkenaan di Sukan University ASEAN (AUG) 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBON RATCHATHANI: Prestasi dan pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 disingkapkan sangat cemerlang selepas berjaya membawa pulang 49 pingat emas, 83 pingat perak dan 50 gangsa.

Pencapaian itu sekali gus melepasi dua sasaran iaitu yang pertama 35 pingat emas yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ‘target’ baharu 45 pingat emas selepas sasaran pertama dilepasi lebih awal oleh kem negara.

Kejayaan meraih 49 pingat emas itu juga meletakkan Malaysia sebagai naib juara keseluruhan di belakang juara bertahan Thailand yang membolot 109 pingat emas dan dihadapan Indonesia yang berjaya meraih 43 pingat emas pada edisi kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen IPT Malaysia, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, kejayaan kontinjen negara di AUG 2022 adalah satu kejutan dan diluar jangkaan kerana hampir kesemua atlet yang mewakili Malaysia membawa pulang pingat.

Beliau berkata, enam jenis sukan iaitu olahraga, catur, badminton, wusyu, karate, taekwondo mempamerkan aksi terbaik mereka untuk memacu kejayaan kem negara dengan masing-masing berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Prestasi ini adalah kejayaan cemerlang buat kali pertama kontinjen negara selepas muncul juara di Laos pada 2012. Kita berjaya capai sasaran 35 emas lebih awal dan kita cabar pihak pengurusan dan atlet untuk capai 45 emas pula.

“Akhirnya 45 emas juga berjaya dicapai dan kita cuba kejar untuk sampai ke angka 50 namun, tidak berhasil melalui dua acara akhir bola keranjang wanita dan lelaki yang berpuas hati dengan pingat perak.

“Enam sukan sangat cemerlang iaitu olahraga yang raih 11 emas, catur (4 emas) dan badminton (4 emas). Dalam sukan tempur pula, kita juga berjaya membuktikan penguasaan dengan masing-masing melepas sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Pekan, kejayaan kontinjen negara juga dipacu oleh program latihan yang berterusan di bawah kendalian pengurusan sukan masing-masing walaupun AUG ditangguh sebanyak tiga kali akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu kata Pekan, pihaknya juga akan membuat ‘post mortem’ pencapaian di AUG kali ini bagi membuat persediaan yang lebih baik untuk menyertai AUG 2024 yang akan diadakan di Surabaya, Indonesia.

Ditanya mengenai imbuhan yang akan diberikan kepada atlet, Pekan berkata, atlet yang berjaya meraih emas pada AUG 2022 akan menerima RM3,000 seorang, pingat perak RM1,500 dan gangsa sebanyak RM750.

“Untuk acara berkumpulan akan ada imbuhan yang berbeza mengikut perkiraan jumlah atlet. Untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan juga akan ada imbuhan buat mereka nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya