Orang Asli mohon status memiliki tanah - Utusan Malaysia

Orang Asli mohon status memiliki tanah

MASYARAKAT Orang Asli di Kampung Kelaik Baru di Gua Musang meminta kerajaan memberi pemilikan tanah kepada mereka. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli meminta  kerajaan memberi pemilikan tanah kepada mereka susulan kawasan penempatan dan rayau yang didakwa semakin  ‘mengecil’ kesan penerokaan dan pembangunan terutama di kawasan Tanah Tinggi Lojing dan pos pedalaman di sini.

Penghulu Kampung Sendrop, Pos Brooke, Rasid Akoh, 55, berkata, peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Orang Asli 1954 atau Akta 134 (Pindaan 1974) hanya membenarkan pihak kerajaan merizabkan sesebuah kawasan rayau untuk Orang Asli mencari makanan dan penempatan. 

Menurut beliau, akta itu  tidak memperuntukkan pemilikan tanah secara persendirian, malah menafikan hak Orang Asli untuk memiliki tanah secara peribadi.

“Kita lihat seluruh masyarakat Orang Asli di Kelantan tidak ada status pemilikan tanah cuma ada hak untuk menduduki. 

“Kampung Orang Asli boleh diibarat seperti sebatang pokok usang yang hanya menunggu masa untuk nak rebah. Apabila kerajaan pusat dan negeri buat pembangunan mereka tak fikir penduduk Orang Asli yang hidup di kawasan itu sejak  turun-temurun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rasid memberitahu, sejak dulu  masyarakat Orang Asli sudah meminta  pusat dan negeri untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan masalah tersebut.

Pembalakan

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Kelaik Baru, Ahak Uda, 56, berkata, masalah pembalakan, perlombongan dan perladangan amat ketara di kawasan perkampungan Orang Asli berbanding dahulu.

Katanya, walaupun kerajaan pusat dan kerajaan negeri memaklumkan telah mengazetkan kawasan rizab Orang Asli, namun ia bukan dilihat sebagai satu jaminan apabila kampung mereka semakin mengecil akibat penerokaan.

Amino Angah, 35, pula mendakwa, kerajaan tidak mengiktiraf ‘tanah adat’ Orang Asli apabila sering memberi kelulusan pembangunan serta penerokaan tanah berhampiran kampung mereka.

Katanya, walaupun sebelum ini kerajaan negeri telah memberi kawasan rayau kepada Orang Asli, namun kehidupan mereka semakin terjejas apabila sumber hutan semakin pupus dan sungai turut tercemar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengakui penempatan kaum Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing dikelilingi kebun sayur.

Katanya, sebelum ini komuniti Orang Asli telah beberapa kali mengadu masalah penempatan mereka semakin sempit dengan penerokaan dan perkara itu sudah  dibangkitkan  kepada kerajaan negeri supaya mengawal aktiviti itu, namun tiada penyelesaian.

Akhbar sebelum ini melaporkan,  pada tahun 2020, Kerajaan Kelantan mewartakan kawasan seluas 1,644 hektar sebagai zon penempatan dan pertanian masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia melibatkan lapan kawasan perkampungan atau pos Orang Asli di Gua Musang dan sebuah di Jeli.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya