PETALING JAYA: Perseorangan lelaki badminton negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas menumpaskan pilihan kedua kejohanan, K.Srikanth, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu semakin hampir meraih emas keduanya selepas sebelum ini memenangi emas dalam acara berpasukan campuran.
Tze Yong bermula agak goyah apabila mudah diratah Srikanth pada set pertama, namun anak jati Johor ini menyusun semula strategi untuk mencatatkan kemenangan untuk set seterusnya dengan keputusan 13-21, 21-19, 21-10.
Ini merupakan kemenangan kedua Tze Yong ke atas bekas No. 1 dunia itu dalam tempoh kurang 7 hari, apabila Tze Yong turut menjinakkan pemain dari India itu ketika perlawanan akhir berpasukan campuran.
Tze Yong bakal membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain India, Lakshya Sen yang melangkah ke final selepas menumbangkan pemain Singapura, Jason Teh dengan keputusan 21-10, 18-21, 21-16.
Terdahulu pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing tewas di peringkat separuh akhir kepada wakil Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan dengan keputusan 23-25, 18-21.
Kian Meng dan Pei Jing bagaimanapun akan turun sebentar lagi untuk penentuan pingat gangsa menentang wakil Scotland, Adam Hall dan Julie Mcpherson. – UTUSAN ONLINE