PUTRAJAYA: Sasaran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima 1.1 juta pengunjung sepanjang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 yang berlangsung dua minggu dan akan berakhir esok hampir menjadi kenyataan.
Petang tadi, jumlah pengunjung ke 1,000,000 di MAHA 2022 ialah Fatin Nur Aqilah Ramli dari Bangi, Selangor. Fatin Nur Aqilah membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan baucar bernilai RM1,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri MAFI, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Ronald menerusi hantaran di Facebook berkata, jumlah pengunjung MAHA 2022 akhirnya melebihi sejuta pengunjung hari ini.
“Hadiah lagi istimewa menanti pengunjung secara fizikal ke-1,100,001 esok. Terima kasih Keluarga Malaysia atas sokongan hadir ke MAHA 2022,” katanya.
Berdasarkan rekod, jumlah pengunjung bagi hari ke-10 MAHA 2022 mencecah 150,000.
Pagi tadi, MAHA 2022 meraikan pengunjung ke 850,000 iaitu Shaidan Ahmad dari Shah Alam.
Shaidan membawa pulang wang tunai RM1, 000, baucar MAEPS Shoppe bernilai RM1,000 dan hamper buah-buahan.- UTUSAN