PETALING JAYA: Sandaran utama negara dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tampak serius dalam pemburuan mahkota juara badminton dunia tahun ini apabila mudah meratah lawan dari Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama sebentar tadi.
Zii Jia yang merupakan pilihan kelima kejohanan hanya memerlukan 39 minit sahaja untuk menyingkirkan Leverdez dengan keputusan 21-9, 21-13 untuk menempah tiket ke pusingan kedua bertemu dengan pemain Portugal, Bernardo Atilano.
Terdahulu, rakan sepelatihnya, Liew Daren gagal untuk mengiringi Zii Jia dan Ng Tze Yong ke pusingan kedua selepas berdepan kesukaran untuk menyaingi pilihan pertama kejohanan, Viktor Axelsen apabila tunduk dengan keputusan 16-21, 12-21.
Aksi membabitkan beregu wanita pula menyaksikan gandingan profesional, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien melakar kebangkitan untuk menyingkirkan pasangan Jerman, Linda Efler dan Isabel Lohau dengan keputusan 21-17, 21-15.
Tuah buat Vivian dan Chiew Sien apabila mendapat bye untuk terus ke pusingan ketiga setelah lawan dari Kanada, Kristen Tsai dan Rachel Honderich menarik diri.- UTUSAN ONLINE