PETALING JAYA : Tangisan kekecewaan atlet gimrama, Ng Joe Ee di Sukan SEA Hanoi terubat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan lebih manis dia melakar sejarah sebagai atlet gimnas pertama Malaysia membawa pulang dua pingat emas di temasya berkenaan.
Beraksi kali pertama dalam pertandingan tanpa dua jurulatihnya dari Russia iaitu Yulia Ivanova dan Udia Legotina yang dikenakan sekatan visa kerajaan United Kingdom, jelas situasi berkenaan tidak melemahkan semangat atlet berusia 17 tahun itu untuk mengharumkan nama negara.
Kejayaan Joe Ee memenangi dua emas menerusi disiplin bola dan riben dalam saingan di Arena Birmingham memastikan sasaran enam emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu tercapai.
Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu, mengakui terkejut mampu meraih dua emas di Sukan Komanwel biarpun di Sukan SEA Hanoi Mei lalu Joe Ee memenangi pingat perak.
Jelasnya, segala usaha keras yang dilakukannya dalam latihan untuk persiapan di Sukan Komanwel akhir terbalas.
“Saya sangat gembira sekarang, saya tidak menjangkakan untuk memenangi emas langsung tetapi saya percaya semua kerja keras saya sebelum temasya itu akan membuahkan hasil.
“Kemenangan ini juga untuk ibu bapa saya kerana merekalah yang sentiasa menyokong saya dengan menghantar saya ke latihan.
“Jurulatih juga sentiasa mengingatkan saya tentang semua kesilapan dilakukan dan menasihati saya untuk cuba meminimumkannya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Joe Ee pada temasya ini turut menjadi sandaran kontinjen meraih pingat, namun beban memenangi emas diletakkan dibahu Koi Yie San yang beraksi di Gold Coast, Australia empat tahun lalu.
Pada saingan tadi, dia memperoleh emas disiplin riben selepas meraih 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran Suzanna Shahbazian dari Kanada yang memperoleh 29.050 mata bagi meraih perak manakala gangsa milik Anna Sokolova dari Cyprus yang mendapat 28.800 mata.
Dalam disiplin bola pula dia berjaya mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran tujuh pencabar lain.
Pemenang perak disiplin ini dimenangi Shahbazian dengan kutipan 29.050 mata manakala gangsa milik Sokolova (28.800).
Selain Joe Ee, skuad gimrama negara turut meraih satu gangsa menerusi Izzah Amzan dalam acara belantan.
Koi Sie Yan yang membawa tiga perak dan satu gangsa ketika beraksi di Gold Coast, pulang dengan tangan kosong kali ini selepas hanya layak bersaing dalam acara riben dan berpasukan. – UTUSAN ONLINE