Kali terakhir jumpa Ahad lalu, Fajim `seperti biasa’ - Kakak - Utusan Malaysia

Kali terakhir jumpa Ahad lalu, Fajim `seperti biasa’ – Kakak

JENAZAH Fajim Juffa Mustafa Kamal tiba di Surau At Kausar Bandar Tasik Kesuma di Semenyih hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH:  Kali terakhir Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal bertemu kakak sulungnya  pada Ahad lalu dan tidak ada perubahan pada adiknya itu yang kerap menziarahnya.

Kakak sulung Allahyarham, Datuk Fajura Juffa Mustafa Kamal berkata, Allahyarham datang bertemu di rumahnya di Bandar Tasik Kesuma di sini pada Ahad lalu sebelum arwah berangkat ke Ipoh, Perak.

Menurut  beliau, memang menjadi rutin adiknya itu untuk datang singgah setiap kali pulang bercuti hujung minggu.

“Ketika itu arwah langsung tidak menunjukkan  perubahan malah dia dilihat seperti sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Kata Fajura Juffa lagi, biarpun terkejut, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Ungku Iwani Al-Juffa berkata, bapa saudaranya itu seorang yang begitu ceria dan rapat dengan keluarganya. 

Katanya, kami hanya dimaklumkan pesawat dipandu arwah  terhempas tetapi ketika itu tidak mengetahui keadaanya.

“Sehingga sepupu saya yang juga anak kepada arwah minta kami mejemput nenek kami yang kebetulan  dijaga mereka sementara ibu saya menjalani rawatan perubatan sejak 10 hari lalu untuk pergi ke hospital.

“Tidak lama lepas itu, baru kami dimaklumkan mengenai kematian pak cik kami,” jelasnya. 

Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di kediaman kakaknya di Bandar Tasik Kesuma pada pukul 5.45 petang.

Ahli keluarga kemudian dibenarkan menatap jenazah sebelum disolatkan di Surau At Kausar Bandar Tasik Kesuma di sini. 

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma  pukul 6.45 petang.

Turut hadir sama iaitu Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Shahada Ismail.

Fajim Juffa yang merupakan Jurulatih Penerbangan Bats Aviation Sdn. Bhd., meninggal dunia selepas pesawat ringan Piper-28 yang dinaikinya terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng sekitar pukul 8 malam semalam.

Rakannya yang juga ketua jurulatih penerbangan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dihantar ke HRPB bagi menerima rawatan dan dilaporkan berada di dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan Bats Aviation Sdn. Bhd. (Bats Aviation) dalam kenyataan memaklumkan mangsa sempat melaporkan berlaku kecemasan pada pukul 8.07 malam sebelum pesawat itu terputus hubungan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya