PETALING JAYA: Ng Eain Yow dan Ivan Yuen bukan sahaja muncul pasangan ketiga yang akan beraksi pada separuh akhir Sukan Komanwel, hari ini, malah, memperbaiki pencapaian negara pada temasya itu apabila buat kali pertama Malaysia mempunyai wakil dalam saingan beregu lelaki di peringkat tersebut.
Semalam, gandingan negara itu yang baharu sahaja dipasangkan April lalu untuk Kejuaraan Dunia di Glasgow, Scotland, menundukkan wakil India, Velavan Senthilkumar-Abhay Singh 11-8, 11-8 pada suku akhir di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, Birmingham, England.
Diletakkan selaku pilihan ke-5/8, Eain Yow dan Ivan bakal berdepan cabaran getir apabila perlu melepasi halangan pemenang pingat gangsa pada temasya 2018 di Gold Coast, Australia, James Willstrop-Declan James dari England.
Willstrop dan James menewaskan gandingan Australia, Cameron Pilley-Rhys Dowling 11-7, 11-4 untuk menempah slot ke peringkat empat terbaik.
Ketika di temu bual bersama Astro Arena selepas perlawanan berakhir, Eain Yow berkata, walaupun menyedari pencabar yang bakal mereka temui bukanlah calang-calang lawan, tetapi dia dan Ivan akan bermain tanpa sebarang tekanan.
“Kami turun tanpa tekanan dan cuba mengharungi perlawanan itu sebaik mungkin.
“Meskipun perlu berdepan dengan penyokong tuan rumah, kami tidak akan beri laluan mudah kepada beregu England itu,” katanya.
Selain Eain Yow dan Ivan, dua lagi wakil Malaysia iaitu dua beregu wanita, Rachel Arnold-Aifa Azman dan Chan Yiwen-Ainaa Amani Ampandi juga bakal beraksi pada separuh akhir.
Aifa dan Rachel yang baharu digandingkan hanya beberapa minggu sebelum Sukan Komanwel, akan melayan pasangan berpengalaman England, Sarah-Jane Perry dan Alison Waters.
Rachel yang sebelum ini berpasangan dengan S. Sivasangari memiliki pengalaman menentang gandingan England itu yang mungkin membantu mengenali kelebihan serta kelemahan lawan mereka itu.
Selain mereka berdua, satu lagi beregu muda Malaysia, Yiwen dan Ainaa turut mencipta kejutan mara peringkat empat terbaik, hari ini apabila dijadual menentang juara bertahan, Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand. – UTUSAN ONLINE