Dua hari hanyut, 16 kru kapal diselamatkan 

Dua hari hanyut, 16 kru kapal diselamatkan 

SERAMAI 16 kru kapal yang hanyut selama dua hari di  perairan Pulau Pemanggil  berjaya diselamatkan petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seramai 16 kru kapal yang hanyut selama dua hari di laut dekat perairan Pulau Pemanggil berjaya diselamatkan kira-kira pukul 5 petang semalam. 

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, bot penumpang itu hanyut selepas kehabisan minyak semasa dalam perjalanan ke Pulau Batam.

Pusat Operasi Zon Maritim Mersing yang menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru  menghantar Bot Perkasa 44 ke lokasi untuk menyelamatkan kesemua mangsa di kedudukan lebih kurang lima batu nautika Barat Daya Pulau Pemanggil.

“Siasatan awal mendapati, kesemua 16 mangsa merupakan kru kapal dagang MT Voras yang diturunkan dari kapal di perairan Sedili dan menaiki bot penumpang seterusnya hanyut sejauh lebih kurang 40 batu nautika ke perairan Pulau Pemanggil selama dua hari sejak Rabu lalu. 

“Kru kapal tersebut terdiri daripada tujuh warga Indonesia, enam Sri Lanka serta tiga India termasuk kapten kapal dan kesemuanya berumur antara 22 hingga 64 tahun. 

“Kesemua mereka berserta bot dibawa ke jeti untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca tidak menentu. 

“Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan. 

“Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-219 9404,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya