PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo selepas cemerlang menewaskan lawan tidak ternama dari Portugal, Bernardo Atilano semalam.
Aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Zii Jia yang juga pilihan kelima kejohanan tidak hadapi masalah untuk mara ke pusingan ketiga selepas menang mudah dengan keputusan 21-9, 21-13.
Menanti Zii Jia hari ini di pusingan ketiga merupakan pemain muda meningkat naik dari China, Zhao Jun Peng yang mudah mengenepikan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia tahun lalu, K.Srikanth dari India dengan keputusan 21-9, 21-17.
Turut sama cemerlang mengikut jejak langkah Zii Jia merupakan beregu wanita, Pearly Tan dan M.Thinaah yang berjaya menewaskan pasangan India, Jolly Treesa dan Gayatri Gopichand Pullela dengan keputusan 21-8, 21-17.
Cabaran buat Pearly dan Thinaah dijadualkan bertemu dengan juara dunia 2018, Wakana Nagahara dan Mayu Matsumoto dari Jepun.
Selain itu, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien juga akan kembali beraksi selepas mendapat kelebihan rehat satu hari gara-gara lawan dari Kanada, Rachel Honderich dan Kristen Tsai tarik diri saat akhir.
Vivian dan Chiew Sien bakal menentang pilihan ketiga kejohanan, Lee Soo He dan Shin Seung Chan dari Korea Selatan.
Malaysia sah akan mempunyai wakil di peringkat suku akhir dalam acara beregu lelaki apabila dua wakil negara bakal bertemu sesama sendiri membabitkan Nur Izzudin Rumsani dan Goh Sze Fei dan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selepas mereka berjaya menewaskan lawan masing masing semalam.
Izzudin dan Sze Fei berjaya tumbangkan manakala pasangan Ireland, Joshua Magee dan Paul Reynolds dengan keputusan 21-13, 21-12 manakala Aaron dan Wooi Yik melepasi halangan wakil Taiwan, Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan keputusan 22-20, 21-18.
“Kami sedang melihat sedang peningkatan dalam gaya permainan kami dan cara mengekalkannya, dan tampak kami berjaya tampilkannya dalam perlawanan hari ini (semalam), dan kami harap dapat meneruskannya,” jelas Aaron.
Bagaimanapun, malang buat Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin apabila menerima kejutan setelah tersingkir di tangan pasangan Singapura, Terry Hee dan Loh Kean Hean dengan keputusan 22-20, 22-20.
Gandingan beregu campuran, Shevon Lai dan Goh Soon Huat juga unggul melepasi halangan pusingan kedua, namun cabaran buat pasangan profesional ini apabila bakal menentang wakil Perancis, Delphine Delrue dan Thom Gicquel yang mempunyai kelebihan dari sudut rekod kemenangan sebanyak dua kali daripada tiga pertemuan mereka sebelum ini.
“Kami pernah menang dengan mereka, dan juga pernah kalah, jadi kami amat memerlukan perancangan yang rapi menentang pasangan ini.
“Kami memang sudah ada strategi kami tetapi ia bergantung kepada corak permainan mereka di dalam gelanggang esok (hari ini) untuk kami tentukan apa yang harus kami lakukan untuk menentang mereka,” jelas Shevon. – UTUSAN ONLINE