Azizulhasni antara calon Anugerah 100Plus Perpaduan SAM

Azizulhasni, Bonnie antara calon Anugerah 100Plus Perpaduan SAM

NAIB Presiden SAM, Mohd. Hazreen Nor Mubarak (kiri) memegang Anugerah Siebel yang menjadi rebutan penulis-penulis sukan sambil diperhatikan Norismadi (tengah) dan Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia antara calon yang tersenarai bagi merebut anugerah atlet terbaik pada Anugerah 100Plus Perpaduan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2020/2021, pada 6 September ini.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap memaklumkan selain Azizulhasni dan Lee Zii Jia, tiga lagi adalah pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong serta jaguh muay thai, Rifdean Mansor.

Bagi kategori atlet para terbaik, empat atlet berpeluang merebut anugerah tersebut iaitu tiga juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Datuk Abdul Latif Romly (olahraga) dan Cheah Liek Hou (badminton) serta pemenang perak temasya sukan berprestij itu, Chew Wei Lun (boccia).

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap

Norismadi berkata anugerah yang kembali dianjurkan selepas ditunda penganjurannya selama setahun susulan pandemik Covid-19, lebih menarik kerana buat julung kali menggabungkan dua edisi iaitu anugerah bagi tahun 2020 dan 2021.

Tambah beliau, hampir 200 penyertaan diterima termasuk daripada portal bagi anugerah kali ini, dengan sejumlah 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan melibatkan lapan kategori masing-masing bagi 2020 dan 2021 serta satu penghargaan tertinggi, Anugerah Siebel.

“Turut diperkenalkan tahun ini adalah dua kategori baharu, anugerah kewartawanan sukan perpaduan dan foto perpaduan.

“Kategori anugerah perpaduan yang merupakan kerjasama antara SAM dan Kementerian Perpaduan diwujudkan kerana secara tidak langsung dapat membantu rakyat Malaysia menyedari elemen perpaduan itu sangat jelas dan nyata dalam sukan,” katanya.

TROFI bagi tiga anugerah utama menjadi tumpuan pada Anugerah 100 Plus Perpaduan Persatuan SAM 2020/2021 yang akan berlangsung pada 6 September ini.

Anugerah kali ini turut menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya sejak 1985 iaitu sebanyak RM109,000 yang menanti pemenang.

Anugerah bakal diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, dan dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya