PONTIAN: Mencabar diri walaupun telah mempunyai pendapatan tetap sebagai pengusaha D’ Desa Guesthouse, bukan halangan untuk Afiqah Abd. Razak terus mengusahakan pembuatan aiskrim.
Afiqah, 32, berkata, pembuatan aiskrim dengan jenama PIKAPI mula diteroka pada tahun 2017 dengan mengikuti kursus di Kuala Lumpur setelah tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Industri Selangor (Unisel).
Pernah mendapat tawaran menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun disebabkan kesihatan bapanya yang tidak mengizinkan, dia terpaksa menolak tawaran tersebut.
Bermodalkan RM2,000, dia memulakan pembuatan aiskrim secara kecil-kecil dengan tumpuan pasaran pada majlis perkahwinan atau majlis keraian yang lain.
“Tempahan yang diterima biasanya antara lapan hingga 10 tempat pada setiap hujung minggu yang diuruskan oleh pekerja sambilan dengan harga pakej bermula dari RM200 – RM924.00,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Serkat, di sini.
Sebanyak 21 perisa aiskrim dihasilkannya bersama-sama seorang pembantu seperti coklat, strawberi vanilla, vanilla oren, keladi, jagung, honeydew, blueberry, peppermint dan durian.
“Pengeluaran setakat ini kira-kira 500 liter sebulan, bergantung permintaan pelanggan terutamanya bagi memenuhi tempahan majlis perkahwinan selain jualan kepada penduduk tempatan yang datang ke kedai,” katanya.
Ahli keluarga atau rakan-rakannya akan menjadi penguji rasa bagi memastikan aiskrim tersebut benar-benar ‘menjadi’ untuk dijual.
Afiqah mengakui bukan mudah untuk menghasilkan aiskrim, namun cabaran tersebut perlu dihadapi termasuk menanggung kerugian apabila pembuatannya tidak menjadi pada hari tersebut.
Bagi meluaskan pasaran, wanita cekal ini bercadang membekalkan ‘peti ais‘ ke beberapa tempat tertentu melalui peruntukan yang diterima daripada kerajaan sebanyak RM10,000.
Kaedah itu sama dengan yang dilakukan oleh pengeluar atau pembekal yang meletakkan tong-tong aiskrim di kedai-kedai, namun pihaknya bercadang meletakkan di sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Afiqah mampu memperoleh pendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan, terutamanya pada musim persekolahan.
Pihaknya juga mengadakan demonstrasi pembuatan ais krim kepada pengunjung yang menggunakan cara tradisional iaitu garam dan ais. –UTUSAN