500 unit PPR di Jenderak, Kuala Krau  - Utusan Malaysia

500 unit PPR di Jenderak, Kuala Krau 

REEZAL Merican Naina Merican menandatangani buku pelawat pada majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di Kuala Krau, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited membina 500 unit projek program perumahan rakyat (PPR) di Jenderak di sini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek tersebut tanggungjawab berterusan kerajaan bagi memastikan semua golongan khususnya B40 memiliki rumah kediaman.

“Menariknya, proses kelulusan pelaksanaan projek PPR ini lebih memudahkan dengan kerjasama erat kerajaan-kerajaan negeri yang meluluskan kawasan tapak rumah. Spesifikasi rumah berkeluasan 750 kaki persegi lebih selesa serta lokasi berdaya huni tahap tinggi dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Reezal Merican berkata, rumah PPR adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula penduduk dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah dengan tawaran harga serendah RM35,000.

Tambah beliau, program PPR satu projek keutamaan dan berterusan Kerajaan Persekutuan dengan diberi hala tuju baharu yang lebih menyerlah seiring dengan keadaan semasa.

“PPR dimulakan sejak 1982 ketika Rancangan Malaysia Keempat dikenali sebagai Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang memberi manfaat ratusan ribu rakyat berpendapatan rendah. Sehubungan itu KPKT akan memastikan agenda perumahan untuk rakyat ini sentiasa diperkukuh serta ditambah baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sebanyak 332 buah Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara membabitkan 45 buah Balai Bomba berada di Kategori A, 82 buah Balai Bomba di Kategori B, 166 buah Balai Bomba di Kategori C dan 39 buah Balai Bomba bagi Kategori D.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung dan taman perumahan mewujudkan pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti kerana anggota memiliki kemahiran setanding anggota bomba sebenar.

“Saya berharap ahli komuniti dan pemimpin-pemimpin tempatan terus bergiat lebih aktif melalui pasukan bomba komuniti dan pasukan bomba sukarela,”  katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya