IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima sebanyak 47 aduan berkaitan isu gajah liar menceroboh masuk kebun dan kawasan penempatan penduduk di negeri ini.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, data yang direkodkan sejak Januari lalu sehingga semalam itu juga melibatkan dua kes kecederaan akibat diserang mamalia berkenaan.
Katanya, tindakan segera telah diambil termasuk membuat tangkapan dan menghalau haiwan itu masuk semula ke habitat asal.
“Apabila kita terima aduan, kita akan pergi secepat mungkin ke lokasi untuk ambil tindakan di mana Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) akan halau atau pun membuat tangkapan.
“Aduan seperti ini bukan sahaja di Perak tetapi juga melibatkan kawasan lain, kadang-kadang kita akan panggil semua pasukan UTG untuk selesaikan masalah termasuk di Johor dan Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Berendoi Baby Hippo di Taman Tema Sunway Lost World Of Tambun (SLWOT) di sini hari ini.
Abdul Kadir memberitahu, laporan yang diterima Perhilitan berhubung kes kacau ganggu gajah liar di negeri ini bagaimanapun disifatkan dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.
“Setiap tahun, Perhilitan Perak akan terima kira-kira 100 aduan, malah kita pernah terima 120 aduan pada tahun 2018. Aduan membabitkan gajah liar ini bukan sahaja di Perak, negeri lain pun sama.
“Cuma pesan saya, mana-mana pihak yang jumpa haiwan ini, jangan sesekali mengambil tindakan sendiri sebaliknya hubungi segera Perhilitan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Media pada 1 Ogos lalu melaporkan, seorang wanita Orang Asli cedera parah diserang gajah liar di kebun dekat belakang rumahnya di Kampung Katong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik.
Kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut. – UTUSAN