KOTA BHARU : Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas 12 ekor anjing baka Cyprus Poodle dan Pomeranian bernilai RM96,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dalam serbuan di pangkalan haram Jali di Kampung Jenub, Bukit Bunga, Tanah Merah dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan pukul 12 tengah hari itu, anggota PGA turut menahan seorang lelaki berbangsa Cina bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota bertugas telah membuat intipan dan mendapati sebuah perahu dari arah negara jiran sedang membawa beberapa bakul menuju ke tebing sungai di kawasan pangkalan haram tersebut.
LIGAT
Menurutnya, sebaik sahaja perahu tersebut merapati tebing sungai, beberapa lelaki dilihat ‘ligat’ memunggah bakul-bakul tersebut ke dalan sebuah kenderaan yang menunggu.
“Ketika serbuan dijalankan, kesemua lelaki yang memunggah barang berjaya melarikan diri. Bagaimanapun kita berjaya menahan lelaki yang dipercayai pemandu kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan lima sangkar plastik yang mengandungi 12 ekor anjing jenis Cyprus Poodle dan Pomeranian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Tambahnya, tangkapan dan rampasan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 2011.
Dalam perkembangan berasingan Muhamad Zaki memberitahu, Batalion 8 PGA mematahkan cubaan menyeludup 9,600 kotak pod cecair vape dan 240 botol cecair vape pelbagai jenis serta jenama dianggarkan bernilai RM792,000.
Katanya, rampasan itu dilakukan di kawasan Chabang Empat, Tumpat dekat sini pada pukul 6 petang kelmarin hasil rondaan rutin.
“Semasa rondaan dibuat, didapati sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback warna keemasan dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota menghampiri dan mengarahkan pemandu untuk berhenti.
“Walaubagaimanapun, pemandu berkenaan bertindak memecut laju kenderaan ke arah Neting, Pengkalan Kubor sebelum anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat membantu mengejar kenderaan terbabit sehingga di Kampung Pasir Putih, Chabang Empat,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, kenderaan tersebut bagaimanapun ditinggalkan di tepi jalan dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui kotak-kotak berwarna coklat yang berisi pod cecair vape. – UTUSAN