JOHOR BAHRU: Pelantikan Ketua Wanita PKR Johor Bahru, Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu dipersoalkan oleh 10 daripada 14 ketua sayap parti berkenaan.
Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, ini kerana majoriti sayap wanita di negeri ini memilih Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua wanita negeri yang baharu.
Mereka mengaku terkejut sebaik sahaja dimaklumkan tentang pelantikan Zuraidah sebagai Ketua Wanita PKR Johor menggantikan Haryati seperti yang diputuskan dalam mesyuarat dan pengundian pada 5 Ogos lalu.
BERTENTANGAN
“Keputusan ini bertentangan dengan keputusan awal dibuat 10 daripada 14 sayap wanita PKR Johor yang memilih Haryati. Keputusan itu dibuat secara demokrasi selepas merasakan Haryati paling sesuai menjadi Ketua Wanita Johor PKR yang baharu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Justeru, mereka menuntut penjelasan daripada kepimpinan negeri kerana keputusan berkenaan jelas bertentangan dengan kehendak ahli di peringkat akar umbi.
“Kami mahukan keadilan dalam soal ini, walaupun betul keputusan melantik Ketua Wanita PKR Negeri adalah hak kepimpinan tertinggi parti, namun perkembangan itu menunjukkan sikap pucuk pimpinan yang angkuh.
“Bagi kami, perpaduan parti adalah penting, apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah semakin hampir. Jika keputusan seperti ini dibuat, apa maknanya kepimpinan negeri memanggil kami untuk mendapatkan mandat melantik ketua wanita yang baharu jika tidak menghormati mandat yang telah diberi,” soalnya.
Phaknya sudah menghantar surat bagi menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pucuk pimpinan parti dan kini menunggu maklum balas.
“Kami menggesa kepimpinan parti mengekalkan Haryati kerana dia sudah mendapat mandat yang jelas untuk memimpin sayap wanita PKR Johor. Sesebuah organisasi hanya akan berjaya atas dasar saling menghormati, khususnya melibatkan sesuatu keputusan yang dibuat kumpulan majoriti.
“Kami tidak berniat untuk menimbulkan perselisihan faham antara mana-mana pihak dalam soal ini, namun harapan kami adalah agar keadilan dapat ditetapkan dalam soal tersebut,” tegasnya.
Terdahulu, terdapat khabar angin mendakwa wujud campur tangan daripada kepimpinan PKR Cabang Johor Bahru dalam soal pelantikan Ketua Wanita PKR Johor yang baharu. – UTUSAN