PETALING JAYA: Tiga mata pertama yang dianggap pemangkin semangat perlu diraih skuad bola sepak bawah 19 (B-19) tahun negara menjelang aksi sulung Kejuaraan B-19 AFF 2022 menentang Kemboja di Stadium Madya, petang ini.
Berdepan lawan yang telah pun mengutip tiga mata pertama menewaskan Singapura 1-0 semalam, anak didik Hassan Sazali Waras seharusnya berwaspada dengan sebarang kemungkinan dijelmakan Kemboja.
Bagi Hassan, berdepan Kemboja yang telah turun beraksi pastinya memberikan kelebihan buat lawan dan mengingatkan pemain agar sentiasa berwaspada.
“Bagi Kemboja ini adalah perlawanan kedua tapi Malaysia adalah yang pertama dan kami mahukan kemenangan untuk dijadikan pemangkin dan moral dalam pasukan.
“Mungkin lawan memiliki momentum selepas menewaskan Singapura 1-0 tapi kami akan tampil dengan semangat memburu kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengakui turut menyaksikan perlawanan membabitkan Kemboja menentang Singapura, Hassan melihat lawan memiliki beberapa kelebihan dari segi fizikal dan kepantasan.
“Begitu juga kelebihan memanfaatkan set piece kerana gol tunggal yang terhasil adalah melalui set piece jadi saya telah ingatkan pemain agar tidak melakukan kekasaran yang boleh memberikan sepakan percuma kepada lawan,” katanya.
Selepas menentang Kemboja, skuad B19 akan bertemu Singapura (Khamis, 7 Julai) dan Timor-Leste (Sabtu, 9 Julai), ketiga-tiganya di Stadium Madya sebelum berdepan Laos (Isnin, 11 Julai) di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi.