PETALING JAYA : Kuala Lumpur City FC (KL City FC) gagal memanfaatkan peluang beraksi dengan kelebihan seorang pemain apabila hanya mampu seri 1-1 menentang Selangor FC, pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.
Kekesalan seharusnya dirasai anak didik Bojan Hodak selepas mereka beraksi dengan kelebihan seorang pemain dalam tempoh 35 minit setelah pertahanan tuan rumah, Ahmad Zikri Mohd Khalili dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Keputusan 1-1 yang diraih pada malam ini mengulangi aksi pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras yang juga berkesudahan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas terikat 3-3.
Tidak banyak aksi menarik dan berbahaya disajikan kedua pasukan sepanjang 20 minit babak pertama dengan corak permainan berhati-hati dipamerkan.
Pelawat hampir mengegarkan gawang tuan rumah menerusi Fakhrul Aiman pada minit ke-21 namun rembatannya berjaya dihalang Shahrul Nazeem Zulpakar ketika penjaga gawang Selangor FC, Samuel Somerville sudah pun tertewas.
Selangor FC yang masih segar dengan kemenangan dipentas Piala FA menewaskan KL City FC tempoh hari akhirnya memperolehi gol hasil jaringan ketua pasukan Brendan Gan minit ke-36.
Gol berpunca dari rembatan bekas pemain Harimau Malaya itu yang terkena pertahanan pelawat Irfan Zakaria sebelum bola terbias dan menerjah gawang ketika Kevin Mendoza sudah pun tersilap langkah.
Babak kedua memperlihatkan corak permainan menyerang dan agresif disajikan kedua pasukan dengan The City Boys lebih bernafsu memburu gol penyamaan.
Pelawat berpeluang menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 65 namun Romel Morales gagal menewaskan Somerville.
Berselang tiga minit kemudian pemain import kelahiran Colombia itu akhirnya menebus kehampaan dengan jaringan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan seri 1-1.
Gol tersebut menghangatkan rentak permainan dengan beberapa kekasaran namun pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahad berjaya mengawal permainan dari situasi yang lebih tegang.
Ketangkasan Somerville yang kini dilihat sebagai penjaga gol utama Merah Kuning memastikan gawang pasukan tidak dibolosi dan keputusan seri 1-1 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan Selangor berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 16 mata, menakala KL City di tangga ketujuh dengan 15 mata.-UTUSAN ONLINE