KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto puas apabila pengorbanan mereka berjauhan daripada keluarga untuk sambutan Aidil Adha hari ini terbayar apabila dinobatkan sebagai juara Malaysia Masters selepas menewaskan rakan senegara, Mohamad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam perlawanan akhir sebentar tadi.
Fajar dan Rian menang dengan keputusan 21-12,21-19 dalam tempoh 32 minit untuk mengumpul kejuaraan ketiga mereka tahun ini selepas menakluk Terbuka Switzerland dan Indonesia Masters.
Kejayaan ini mengulangi pencapaian mereka pada 2018 apabila menumbangkan wakil Malaysia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.
“Kami bersyukur dapat memenangi kejohanan ini sekali lagi, dan semoga di kejohanan yang akan datang kami dapat meneruskan prestasi sebegini.
“Pasti meraikan sambutan hari raya bersama keluarga lebih seronok, tetapi saya dan Rian terlepas untuk melakukannya, bukan sahaja sambutan Aidil Adha, malahan hari raya Aidil Fitri yang lalu, tetapi ini adalah sebahagian daripada pekerjaan kami, mengharumkan nama Indonesia dalam pertandingan.
“Memang ada perasaan sedih, tetapi ini adalah tanggungjawab kami,” jelas Fajar yang berasal dari Bandung, manakala Rian dari Jogjakarta.
Sementara itu dalam acara beregu campuran, pasangan dari China Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong berada dalam kelas tersendiri untuk mempertahankan kejuaraan mereka apabila menumpaskan lawan dari Indonesia, Rinov Rivaldi dan Pitha Haningtas Mentari dengan keputusan 21-17,21-12.
Turut mengikut jejak langkah mereka adalah rakan sepasukan dalam acara beregu wanita, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan yang turun sebagai pilihan pertama kejohanan mengecewakan hasrat beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dengan keputusan 21-11, 21-12 untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi pada 2020.-UTUSAN ONLINE