BALING: Walaupun masih trauma dengan kejadian kepala air dan banjir yang mengorbankan tiga nyawa Isnin lalu, namun penduduk Kampung Iboi di sini tetap meraikan kedatangan Hari Raya Aidiladha hari ini.
Di sebalik segala kekurangan dan rumah masih disaluti lumpur, kedatangan Aidiladha tetap diraikan termasuk menunaikan solat sunat hari raya di kawasan terbuka di pusat penempatan sementara.
Ibadah korban juga turut dilaksanakan dengan beberapa ekor lembu di sembelih dan penduduk bergotong royong menjayakannya.
Aktiviti kunjung mengunjung juga tetap dilakukan walaupun terpaksa melalui kawasan runtuhan dan merentasi lumpur kesan daripada kejadian kepala air itu.’
Dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu itu, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur melibatkan lima kampung di Kupang yang mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.
Hujan lebat lebih tiga jam sejak Isnin membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas berdekatan, mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan.
Antara kampung yang terlibat dalam bencana itu adalah Kampung Iboi, Kampung Bukit Ibor, Kampung Tok Pisang, Kampung Tok Saba dan Kampung Padang Empang.
Bencana alam itu berlaku selepas hampir setahun tragedi yang sama di kaki Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos lalu yang meragut enam nyawa dan menjejaskan 2,000 penduduknya.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini berada di Turkiye atas tugasan rasmi negara dalam reaksi segeranya mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa berkaitan membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Sekolah Menengah Agama Al- Khiriah dan Surau Annur di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang pada hari Isnin itu, tiga mangsa yang terkorban daripada satu keluarga tidak sempat menyelamatkan diri sebelum mayat mereka ditemukan dalam keadaan berpelukan oleh pasukan penyelamat kira-kira 100 meter dari rumah mereka, semalam.
Mayat seorang wanita yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, dijumpai berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Kira-kira tiga jam kemudian, mayat anak kepada Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemukan pula tidak jauh daripada mayat ibu dan kakak iparnya itu.
Malah, sebuah jambatan yang menjadi laluan utama penduduk berulang alik melintasi Sungai Iboi turut roboh dengan strukturnya hanyut kira-kira 50 meter dari kedudukan asal. – UTUSAN