Kelantan United, Skuad Projek sama kuat - Utusan Malaysia

Kelantan United, Skuad Projek sama kuat

NIK Akif Syahiran Nik Mat (kanan) berusaha melepasi kawalan pemain Skuad Projek MSN-FAM pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan petang tadi.-IHSAN Kelantan United
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Kelantan United FC gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri apabila sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan Skuad Projek FAM- MSN pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebentar tadi.

Kelekaan kem tuan rumah dihukum seawal minit ke-tujuh apabila pemain pertahanan, Shuhei Fukai tertanduk bola ke gol sendiri untuk menghadiahkan gol pembukaan kepada Skuad Projek FAM-MSN.

Gol menyaksikan tuan rumah bagaikan hilang fokus sehingga kerap melakukan kesilapan ketika ghairah untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Kemasukan Njoku Jacob menggantikan Mohamad Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-25 berjaya menyuntik nafas baharu namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Tuan rumah bagaikan mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan percuma selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat dikasari tetapi gagal dimanfaatkan Jacob apabila sepakannya sedikit tinggi melepasi palang gol pelawat.

Jacob sekali lagi hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila percubaannya dari luar kotak penalti juga sedikit melepasi palang gol.

Kem tuan rumah terus berdepan kebuntuan untuk mencari gol dan kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk mengatur serangan untuk mencari gol kedua, namun pasukan tuan rumah yang mendapat peluang keemasan menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-50.

Bagaimanapun Jacob mensia-siakan peluang apabila menyepak lemah dan memudahkan tugas penjaga gawang pelawat, Aizat Aiman Mazlan menepis bola keluar.

Kelantan United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila penyerangnya Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin memanfaatkan peluang terhidang di hadapan gol Skuad Projek FAM-MSN.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan dan menuju minit-minit akhir perlawanan, KUFC bersepan situasi genting apabila pemain pertahanannya, Muhammad Haziq Mohd Subri diperintah keluar padang setelah menerima kad kuning kedua.

Tuan rumah, bagaimanapun terus kental bertahan dan kedua-dua pasukan terus kebuntuan mencari gol kemenangan dan terikat seri 1-1 sehingga ke tiupan wisel penamat.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya