Jururawat menangis kenang keadaan Bella selepas diselamatkan - Utusan Malaysia

Jururawat menangis kenang keadaan Bella selepas diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jururawat masyarakat yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah menangis ketika mengingat kembali pertemuannya dengan remaja sindrom down, Bella, pada Julai tahun lalu. 

Saksi itu, Wan Zuriena Wan Ismail, 40, berkata, dia tidak dapat menahan emosinya ketika Bella memanggil namanya ‘Misi Wan’ dan memeluknya. 

“Selepas membuat rondaan ke asrama, saya tiba di asrama yang Bella duduk, dia tengok saya, dia datang kepada saya dan dia peluk saya. Dia cam saya dan panggil ‘Misi Wan’. 

“Saya jadi beremosi bila tengok dia dalam keadaan tangan berbalut, rambut dipotong pendek dan parut di muka,” katanya sambil menangis. 

Kenangan pahit itu menyebabkan Wan Zuriena terus menangis sehingga tidak mampu menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad sehingga Hakim Izralizam sanusi terpaksa menghentikan sementara prosiding bagi memberi masa untuk saksi itu bertenang.

Terdahulu, saksi tersebut memberitahu, Bella tinggal di rumah kebajikan itu sejak dia berusia tiga tahun dan mengenali remaja perempuan terbabit sehingga umurnya mencapai 12 tahun iaitu sebelum hak penjagaan remaja itu diberikan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. 

Bella kini kembali ditempatkan di rumah kebajikan tersebut. 

Ketika mahkamah kembali bersidang, Nor Azizah bertanya mengenai keadaan Bella terutamanya mengenai rutin mencuci kecederaan luka tangannya, Wan Zuriena berkata, dia akan mengalihkan perhatian Bella supaya remaja itu tidak berasa sakit.

Nor Azizah: Bagaimana keadaan Bella ketika cuci luka?

Wan Zuriena: Setiap kali kita nak cuci luka terutama kedua-dua belah tangannya, Bella akan tarik tangannya. Kita kena pujuk dia, kata kalau Bella hendak pergi sekolah kena cuci luka, sapu ubat dan balut, nanti kalau tak, kuman masuk luka itu akan makin besar. Hari-hari ketika cuci luka, kita doa benda sama iaitu ‘Ya Allah!, Bella hendak sembuh, sihat dan pergi sekolah semula dan Bella maafkan semua. 

Dalam prosiding yang sama, Wan Zuriena turut mendedahkan Bella mengalami trauma serta sering mengigau ketika tidur pada malam. 

“Saya dapati dia trauma sebab ketika menjalankan rondaan pada waktu malam dan apabila sampai di asrama, saya dengar budak menjerit, jadi, saya pergi pada setiap budak dan saya nampak Bella dalam keadaan trauma, dia mengigau,” katanya. 

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Nur A’minatul Mardhiah Md Nor, saksi itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perbuatan amang seksual yang dikatakan dilakukan oleh seseorang dipangggil ‘ustaz’ itu.

Nur A’minatul: Semasa temuduga yang dibuat pihak PDRM dengan Bella dan ditemani oleh pegawai JKM, Bella ada sebut seseorang namanya ‘ustaz’. Puan ada pengetahuan tak mengenai ustaz itu? 

Wan Zuriena: Tidak.

Nur A’minatul: Saya katakan Siti Bainun pernah mengadu kepada pegawai pelindung berkenaan isu ustaz ini dan amang seksual yang dikenakan ke atas Bella? 

Wan Zuriena: Saya tidak tahu. 

Semalam, Penolong Pegawai JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, juga mengatakan dia tidak mengetahui mengenai ‘ustaz’ tersebut malah terkejut dengan cadangan Nur A’minatul. 

Perbicaraan bersambung pada 29 Ogos ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya