PETALING JAYA: Jazeman Jaafar bersama gandingannya, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim menjanjikan kebangkitan pada Pusingan 3 Siri Cabaran GT Dunia Asia 2022, hujung minggu ini di Litar Fuji, Jepun.
Jazeman memiliki kenangan manis di litar perlumbaan sepanjang 4.563 kilometer (km) tersebut susulan kejayaan memenangi Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) pada 2018 selain meraih penamat kedua bagi Perlumbaan Siri Le Mans Asia 2017.
“Untuk pusingan ketiga ini ada peluang yang baik kerana kalau diikutkan sejarah, Litar Fuji ini adalah salah satu litar yang saya gemari dan saya pernah meraih kejayaan dalam Siri Le Mans Asia dan WEC sebelum ini.
“Jadi saya ini membawa momentum itu, akan tetapi bagi rakan pasukan saya, Tunku Abu Bakar, ini adalah perlumbaan kali pertamanya di Fuji dan kami sudah membuat persiapan untuk membawa pengalaman dimiliki sehingga Ahad ini,”ujar Jazeman.
Tunku Abu Bakar dan Jazeman yang mewakili pasukan Triple Eight JMR dalam kelas GT3 kini berada di tangga kelima keseluruhan.
Mereka berdepan kesukaran pada pusingan sebelum ini di Litar Antarabangsa Suzuka apabila menamatkan dua perlumbaan masing-masing di tempat kesembilan dan ke-12.
“Di Suzuka, sangat teknikal kerana trek yang panjang. Sekarang ini, cabaran itu terarah kepada untuk menjaga penggunaan tayar kerana Pirelli (jenis tayar) agak sensitif dan kadang-kadang dalam suhu dan tekanan yang terhad, baru dapat merasa cengkamannya,” katanya.
Selepas Fuji, saingan beralih ke Litar Sugo pada 19 hingga 21 Ogos, Litar Antarabangsa Okayama (23-25 September) dan Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia (21-23 Oktober).
Pasukan Triple Eight JMR turut mempunyai dua lagi wakil iaitu Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim yang bergandingan bersama Nick Foster dan pada ketika ini, mereka mendahului carta keseluruhan dengan 68 mata.