TAMPIN: Seorang warga emas memohon bantuan orang ramai bagi mencari anak ketujuhnya yang hilang sejak 27 Jun lalu.
Khatijah@Mariam Yahaya, 84, berkata, anaknya, Abdul Razak Kamarudin, 56, keluar dari rumah kira-kira pukul 2.30 petang dengan membawa tiga batang pancing.
Katanya, anaknya itu gemar memancing di sungai dan kebiasaannya pulang ke rumah pada waktu senja atau malam.
“Anak saya yang masih bujang dan ketika umurnya 20-an, dia pernah hilang dan ditemukan di Keratong (Pahang).
“Pada waktu itu dia hilang dua hari sahaja, tetapi kali ini sudah berhari-hari. Saya sangat bimbang dan harap dia dapat ditemuka segera,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Pasir Besar, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Peneroka, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Pasir Besar, Abdul Ghani Talib, berkata, laporan polis dibuat oleh abang sulung Abdul Razak, minggu lalu.
“Abdul Razak keluar dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran MBX 5840. Sejak hilang, penduduk serta pihak berkuasa telah mencari termasuk menyusuri tepi sungai atau lokasi dia dilihat selalu memancing iaitu di Sungai Muar dan Rompin.
“Tetapi kami tidak jumpa jejak langsung malah motosikalnya juga kami tidak jumpa. Oleh itu, kami juga memohon jasa baik orang ramai untuk menjejaki Abdul Razak,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkannya ke balai polis terdekat atau menghubungi Abdul Ghani di talian 019-2085316. – UTUSAN