KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 2 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 selepas menewaskan pasangan No. 7 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada perlawanan akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.
Dalam aksi sengit yang berlanjutan sehingga ke set penentuan itu, pasangan Jepun tersebut melakar kemenangan ke atas gandingan Indonesia 24-22, 16-21, 21-9 pada pertemuan yang berlangsung lebih sejam.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Hoki dan Kobayashi kini mendahului rekod pertemuan antara kedua-dua beregu itu kepada 3-2.
Juara dunia asuhan jurulatih kelahiran Malaysia, Tan Kim Her itu memenangi gelaran kedua pada Jelajah Badminton Dunia tahun ini, selepas menjuarai Terbuka Thailand, Mei lalu berdepan pencabar sama.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Kobayashi berkata, kejayaan merangkul gelaran di Malaysia adalah satu pengalaman hebat buat dirinya dan Hoki.
“Ini satu pencapaian yang hebat dan buat masa ini, fokus kami ialah untuk mengekalkan permainan yang lebih konsisten menjelang Kejuaraan Dunia,” katanya.
Mengulas pula mengenai pertahan gelaran Kejuaraan Dunia yang dimenangi mereka di Huelva, Sepanyol tahun lalu, pasangan Kobayashi, Hoki memberitahu, buat masa ini mereka enggan memikirkan sama ada mampu untuk berbuat demikian atau sebaliknya.
“Kejuaraan Dunia masih ada dua bulan lagi, kami tidak pasti mampu mempertahankan gelaran ataupun tidak.Apa yang lebih utama memanfaatkan masa yang berkualiti semasa sesi latihan,” ujarnya.