JOHOR BAHRU: Spekulasi siapa jurulatih yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan Benjamin Mora sebagai ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab apabila Hector Bidoglio diperkenalkan oleh juara Liga Super lapan kali itu, hari ini.
Perlantikan bekas pengendali kelab Argentina, Newell’s Old Boy itu diumumkan menerusi hantaran dalam Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers sebentar tadi.
“Kelab Bolasepak JDT dengan sukacitanya mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela sebagai Ketua Jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta-merta.
“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador,” demikian diumumkan JDT.
Semalam, peminat bola sepak tanah air air dikejutkan dengan berita pemergian Mora untuk pulang ke negara asalnya bagi menyelesaikan urusan peribadi di Mexico.