UBON RATCHATHANI : Skuad bola sepak negara terlepas peluang untuk menempah tiket awal ke final acara bola sepak pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 selepas terikat 2-2 dengan juara bertahan, Thailand sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, Malaysia nyaris melakukan kejutan ke atas pasukan tuan rumah itu selepas mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum Thailand bangkit mengikat kedudukan pada babak kedua.
Bagaimanapun, perlawanan berlangsung dalam suasana agak tegang selepas keputusan pengadil dari Myanmar, Kyaw Zall Lwin yang dilihat lebih memihak tuan rumah dalam babak kedua termasuk memberikan sepakan penalti kepada Thailand.
Ketua jurulatih bola sepak AUG, Ridzuan Abu Shah juga mengakui bahawa sepakan penalti itu secara tidak langsung telah menjejaskan perancangan pasukannya dalam aksi tersebut sehingga membuatkan pemain hilang fokus dan bertikam mulut dengan pengadil.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pemain kerana menterjemahkan taktikal yang dirancang dengan cukup baik dalam perlawanan ini sehingga berjaya mengikat juara bertahan.
“Mungkin sepakan penalti dan sepakan percuma yang diberikan kepada pasukan lawan mengganggu tumpuan pemain kita namun, mereka dapat bertahan sehingga wisel penamat bagi mengelak gawang negara terus dibolosi,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi itu, Malaysia memperoleh dua gol menerusi penyerang, Mohd. Alief Najmi Mohd. Radzi seawal minit kelapan seblum Muhammad Zulkarnain Mohd. Nasir menggandakan kedudukan pada minit ke-41.
Bagaimanapun, Thailand bangkit meledak dua gol di babak kedua menerusi sepakan penalti Kasitinard Sriphirom pada minit ke-50 dan Adunlikhit Saengdaeng yang menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-77.
Keputusan seri tersebut menyaksikan Malaysia kini kekal berada di tangga kedua berkongsi mata dengan Thailand namun, dipisahkan menerusi jumlah perbezaan gol yang berpihak kepada pasukan juara bertahan itu.
Malaysia yang membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar sebelum ini perlu mengelak daripada tewas kepada Laos dalam aksi terakhir liga sepusingan untuk melayakkan diri ke pentas final.-UTUSAN ONLINE