SINGAPURA: Golongan pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab rendah berkemungkinan terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi makanan yang dijual di kantin sekolah negara ini.
Jangkaan kenaikan harga itu selepas Kementerian Pendidikan baru-baru ini menyemak garis panduan harga di kantin sekolah.
Mediacorp difahamkan kali terakhir garis panduan itu disemak adalah pada 2018, dan kenaikan yang dibenarkan di bawah garis panduan baru itu adalah kurang $1 (RM3.15) bagi semua peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.
“Dengan kenaikan harga kos bekalan makanan, pihak kementerian menyemak garis panduan harga di kantin sekolah bagi memberi panduan kepada sekolah-sekolah dalam semakan tetap harga makanan kantin.
“Peniaga kantin yang merasakan harga makanan mereka tidak dapat dikekalkan boleh berhubung dengan pihak sekolah sebelum menilai permintaan selaras dengan garis panduan tersebut,” katanya.
Garis panduan harga dilaksanakan bagi memastikan makanan kantin sekolah mampu dibeli oleh pelajar, serta memastikan peniaga memperoleh pendapatan sewajarnya untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka.
“Sekolah-sekolah digalakkan menyesuaikan harga makanan kantin mereka secara tetap bagi mencerminkan kos bekalan makanan sambil memastikan makanan mampu dibeli oleh pelajar,” katanya.
Bagi golongan pelajar susah, lebih ‘banyak subsidi’ akan diberikan melalui pihak kementerian atau sokongan mengikut sekolah.