Faktor kewangan punca Ayie kumpulan Leon bercerai - Utusan Malaysia

Faktor kewangan punca Ayie kumpulan Leon bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan rock kapak sekitar 90-an, Ayie Leon,48, mendedahkan, dia sebenarnya sudah dua tahun bergelar duda setelah bercerai dengan bekas isterinya, Zuliza Zulkifli, 46, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menurut Ayie atau nama sebenarnya, Nazrimi Md Ali, masalah kewangan merupakan antara faktor mengapa keputusan untuk bercerai itu dibuat.

“Ya, saya sekarang ini sudah menduda. Saya bercerai kira-kira dua tahun lalu disebabkan masalah kewangan yang melanda.

“Saya memang bergantung sepenuhnya pada karier nyanyian dan sepanjang pandemik lalu, saya kehilangan pendapatan.

“Disebabkan itu, saya dan isteri ambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dengan perceraian,”kata bapa Putri Nazlisabella yang berusia 16 tahun ini.

Sementara itu, kata Ayie, dia kini mahu bangkit memperbaiki diri dan karier seninya semula dan sebagai inisiatif, satu single terbaharu telah dihasilkan olehnya.

Kata Ayie, single berjudul Damaikan Jiwa itu merupakan buah tangan buat peminat yang merindui nyanyiannya setelah sekian lama menyepi.

Menyentuh perihal single terbaharunya iaitu Damaikan Jiwa yang dicipta oleh Ariey Leon, vokalis itu menyifatkan lagu tersebut adalah luahan hatinya sementelah gagal menjadi suami terbaik.

“Saya meluahkan segala rasa kecewa menerusi bait-bait lirik dalam lagu ini akibat kegagalan yang dialami.

“Sebagai seorang suami dan juga ayah, saya tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya diri sendiri,”katanya.

Jelas Ayie, dia juga dalam perancangan solo untuk menghasilkan lebih banyak lagu bergenre rock kapak.

Menariknya, suara anak tunggalnya iaitu Putri turut akan diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi apabila anak-beranak itu bakal muncul dalam lagu duet pertama mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN