PETALING JAYA: Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan Chan Yiwen meneruskan perjuangan memburu pingat skuasy Sukan Komanwel 2022 apabila melangkah ke pusingan ketiga di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, hari ini.
Pemain No. 22 dunia, Eain Yow yang turun beraksi menentang Jason-Ray Khalil dari Guyana melakar kemenangan mudah 11-4, 11-2, 11-4, sekali gus menempah pertemuan dengan Nick Sachvie dari Kanada esok (pukul 3.15 pagi waktu Malaysia).
Biarpun Sachvie sekadar menghuni ranking ke-98 dunia, namun dia mampu menjadi ancaman jika tidak diberi perhatian serius selepas mengejutkan pilihan 9/16, Lwamba Chileshe dari New Zealand 11-6, 6-11, 5-11, 11-8, 11-4.
Walaupun ranking antara kedua-dua pemain itu tidaklah jauh kerana Chileshe hanya berada di kedudukan ke-92 dunia, tetapi selaku pilihan 5/8, Eain Yow perlu berhati-hati agar tiada kejutan besar berlaku yang sekali gus meranapkan impiannya mara ke suku akhir.
Sementara itu, dalam saingan wanita pula, pemain ke-34 dunia, Rachel turut tidak menghadapi masalah menyingkirkan wakil Pakistan, Amna Fayyaz 11-3, 11-2, 11-5.
Pemain berusia 26 tahun itu yang diletakkan selaku pilihan 9/16, bagaimanapun, berdepan laluan getir apabila dia perlu melepas halangan wakil Wales, Tesni Evans yang menghuni ranking No. 18 dunia pada pusingan ketiga esok jika berhajat ke suku akhir.
Seorang lagi wakil Malaysia dalam aksi wanita, Yiwen turut melayakkan diri ke pusingan ketiga setelah menumpaskan Faiza Zafar juga dari Pakistan 11-3, 11-6, 11-5.
Menanti pemain berusia 22 tahun yang menghuni ranking ke-77 dunia itu pada pusingan berikut ialah pilihan kedua dari England, Sarah-Jane Perry.
Pemain No. 6 dunia, Perry, 32, yang memburu pingat emas pertamanya pada Sukan Komanwel setelah sekadar berpuas hati dengan pingat perak pada temasya lalu di Gold Coast, Australia mudah membenam pemain Cayman Islands, Jade Pitcairn 11-1, 11-3, 11-5. – UTUSAN ONLINE