SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan memperluaskan pembinaan kandang dan tempat sembelihan lembu secara kekal di setiap masjid di negeri ini bagi melancarkan pelaksanaan ibadat korban yang diadakan setiap tahun.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, tempat sembelihan dan kandang tersebut telahpun dibina di Masjid Negeri, Negeri Sembilan di sini sebagai projek perintis dan mengikut spesifikasi Bahagian Halal JHEAINS.
Jelas beliau, spesifikasi tersebut tidak hanya melihat kepada aspek menyembelih sebaliknya turut memberi penekanan kepada aspek menguruskan haiwan sembelihan mengikut kehendak syariat Islam termasuk perlu ada rasa ihsan kepada haiwan terlibat.
“Ia dibina bertujuan mengurangkan masa, mengurangkan guna tenaga dan mengurangkan kos. Selepas ini untuk tujuan menumbangkan seekor lembu sebelum disembelih hanya melibatkan tenaga dua tiga orang.
“Menerusi sistem ini juga tentunya aktiviti korban dapat dijalankan dengan lebih mudah, tenaga ramai yang sebelum ini digunakan untuk proses penyembelihan boleh ditumpukan untuk tujuan mengedarkan daging-daging korban ini, mengagihkan itu lebih penting.
“Kandang dan tempat sembelihan ini juga dibina hasil nasihat dan pandangan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pengalaman daripada tukang-tukang sembelih haiwan korban,” katanya kepada pemberita selepas majlis korban di Masjid Negeri, Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, pihaknya selepas ini akan membantu supaya setiap masjid akan dilengkapi dengan kemudahan kandang dan tempat sembelihan tersebut.
“Kami akan bantu supaya setiap masjid dibina sebuah tempat penyembelihan ini. Jika kita dapat siapkan tempat sembelihan yang lebih baik dan terurus, dapat juga kita kurangkan konflik tentang amalan agama masing-masing.
“Dalam masyarakat majmuk, kita kena menghormati sensitiviti masyarakat dan bagi kita masyarakat Islam, insya-Allah kita boleh toleransi dalam hal ini,” kata beliau lagi.
Tambah beliau, menyedari hal tersebut juga, penyediaan tempat sembelihan juga akan terus dimasukkan dalam pelan pembinaan masjid-masjid baharu di negeri ini kelak.
“Model kandang dan tempat sembelihan ini kami minta kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk turut dimasukkan dalam pembangunan masjid-masjid baharu selepas ini,” katanya lagi.
Mohd. Zaidi menambah, pembinaan kandang dan tempat sembelihan yang turut melibatkan tempat melapah dan sistem perparitan itu juga tidak melibatkan kos yang besar selain tidak mengambil tempoh masa lama untuk dibina,” katanya lagi. – UTUSAN