PETALING JAYA: Jaguh silat negara, Al-Jufferi Jamari tekad menjadikan penyertaan kali keempatnya dalam Kejuaraan Silat Dunia kali ke-19 sebagai pungutan pingat terakhir sebelum bersara dari sukan tempur itu.
Al-Jufferi yang mengalami kecederaan bahu serius dalam Sukan SEA Vietnam pada Mei lalu bagaimanapun berkata, isu itu sebenarnya tidak melunturkan semangat dan keyakinannya, namun satu-satunya perkara yang mengganggu fikirannya kini adalah fokus.
Tidak menolak kemungkinan bahawa kelemahan itu akan menjadi sasaran utama pihak lawannya nanti, pesilat berusia 30 tahun itu menegaskan dia memahami strategi musuh di gelanggang dan bersedia dengan segala keputusan perlawanan.
“Memang ada risiko jika saya teruskan kejohanan, kesakitan (jika kecederaan berulang) kali kedua akan lebih teruk berbanding di Sukan SEA dahulu. Kecederaan saya itu terjadi kali pertama semasa di Sukan SEA lalu, (bahu) terkeluar separuh tetapi untuk kali kedua, jika terkena lagi mungkin akan terkeluar semua sekali.
“Jadi disebabkan saya dah tahu rasa sakit tu macam mana, memang keadaan itu agak mengganggu tumpuan saya semasa latihan. Dari segi semangat dan tekanan tiada masalah cuma fokus… saya masih mencari-cari apakah ‘senjata’ yang harus dibawa masuk ke dalam gelanggang.
“Ada beberapa teknik yang telah dibincangkan bersama jurulatih, kita akan cuba guna taktikal yang berbeza kali ini,” katanya.
Nama Al-Jufferi mula menggegarkan dunia persilatan selepas meraih enam pingat emas secara berturut-turut sejak 2010 hingga 2017 dalam Kejuaraan Silat Dunia dan Sukan SEA, sekali gus memberi gambaran hebat kepada Malaysia kerana mempunyai bakat luar biasa.
Bakal bertanding dalam Kelas F (70kg-75kg) iaitu kategori sama yang disertainya dalam Sukan SEA Vietnam yang lalu, juara bertahan itu dengan nada positif menyatakan bahawa keadaannya kini sudah 80 peratus bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik.
Dalam pada itu, sasaran tujuh pingat diletakkan kepada kontinjen negara dalam menghadapi Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang bakal membuka gelanggang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 26 hingga 31 Julai ini.
Dengan penyertaan daripada 40 negara termasuk Amerika Syarikat, Mesir dan India yang menghantar skuad berkapasiti besar, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berharap penganjuran ini akan menjadi kejohanan sukan tempur yang terbaik pernah dianjurkan dalam sejarah.