PETALING JAYA : Seramai 80 peserta termasuk pemain golf profesional, Shaifubari Muda menyertai Acara Golf Amal Peningkatan Kesedaran Kesihatan di Kelab Golf Sungai Long Golf & Country Club (SLGCC) hari ini.
Acara golf amal itu dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Graduate School of Business (GSB) dengan kerjasama strategik Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA).
“Ia juga melibatkan pelajar tahun akhir Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Acara golf ini ditaja oleh beberapa penaja yang terkemuka yang komited dalam pemberian sokongan kepada kesedaran penjagaan kesihatan mental.
“Selain itu, Ianya turut melibatkan sesi bicara perkongsian bersama pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur iaitu Dr. Hafiz Norzan,” kata UKM-GSB dalam satu kenyataannya.
Acara Golf Amal ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental yang baik serta membasmi stigma negatif terhadap pesakit mental dalam kalangan masyarakat.
“Bukan itu sahaja, acara ini juga mampu menjadi pencetus buat orang ramai untuk menjadi aktif dalam advokasi terhadap kesihatan mental,” katanya.-UTUSAN ONLINE