PETALING JAYA: Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mudah menewaskan lawan dari India, Sameer Verma untuk melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka Indonesia, dengan keputusan 21-10,21-13 dalam tempoh 41 minit.
Zii Jia bakal berentap dengan seteru dari Singapura, Loh Kean Yew hari ini, selepas Juara Dunia 2021 tumpaskan wakil Perancis, Toma Junior Popov, 21-19, 21-9.
Atas kertas, Zii Jia dilihat mempunyai kelebihan apabila menang tiga daripada lima pertemuan terhadap Kean Yew, dengan kali terakhir menang ketika Kejohanan Berpasukan Asia di Kuala Lumpur, Februari lalu.
“Saya rasa permainan saya lebih baik dan meningkat, walaupun pada permulaan tadi saya bergelut sedikit, namun saya berjaya atasinya, lawan saya (Kean Yew) esok adalah lebih kuat, dan saya perlu bersedia untuk hadapinya,” kata Zii Jia.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut sahkan tempat di suku akhir selepas dikerah beraksi sehingga rubber set oleh pasangan Belanda, Ruben Jille dan Ties Van Der Lecq, 21-17,16-21, 21-6.
“Saya rasa pasangan Belanda itu sudah mengkaji gaya permainan kami, sehingga menyukarkan kami untuk menyerang, namun di set ketiga kami menukar strategi dan memaksa mereka membuat kesilapan,” jelas Wooi Yik.
Malaysia turut menambah wakil ke pusingan seterusnya apabila pertemuan sesama Malaysia dalam beregu campuran, memihak kepada Hoo Pang Ron dan Toh Ee Wei yang mengejutkan pasangan profesional negara, Shevon Lai dan Goh Soon Huat, 21-19,21-19.
Mereka bakal buat perhitungan dengan pilihan keenam kejohanan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae dan Chae Yoo Jung.
“Kami akan berbincang dengan jurulatih mengenai strategi yang bakal kami gunakan.
“Pasangan Korea Selatan adalah antara pasangan terbaik dunia, dan mereka merupakan pilihan, sudah pasti perlawanan yang sukar untuk kami. Namun kami sedia berikan yang terbaik,” jelas Pang Ronn.
Manakala tuah berpihak kepada Chen Tang Jie dan Valeree Siow yang mendapat kemenangan percuma selepas wakil tuan rumah, Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti menarik diri.