KUALA LUMPUR: Inilah yang dikatakan wira tidak didendang, pada ketika lebih 10,000 peminat badminton tanah air tertumpu kepada jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, beregu wanita, Anna Chong-Teoh Mei Xing mencuri tumpuan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan Malaysia yang menghuni ranking ke-44 dunia itu melakukan kejutan terbesar dalam karier mereka apabila membenam beregu No. 3 dunia, Lee So Hee-Shin Seung Chan 18-21, 21-12, 21-15 pada pusingan kedua kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 tersebut.
Berbeza pula dengan nasib Zii Jia, walaupun meraih sokongan padu daripada penyokong, jaguh No. 5 dunia itu tewas kepada pemain yang menghuni ranking ke-26 dunia, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia 19-21, 21-19, 21-16 dalam aksi yang berlangsung lebih sejam.
Anna dan Mei Xing yang kekal tenang beraksi di gelanggang tiga tanpa lensa kamera dan perhatian peminat, mencipta sejarah tersendiri menempah slot suku akhir buat kali pertama dalam karier mereka.
Mei Xing ketika ditemui pemberita mengakui dia dan pasangannya Anna bermain tanpa sebarang tekanan walaupun lawan yang ditentang bukanlah calang-calang pencabar.
“Kami sedar sokongan peminat memang dekat Zii Jia, mungkin ia memberi kelebihan kepada kami untuk bermain tanpa tekanan.
“Fokus kami pada masa itu hanya kepada permainan dan persembahan ini adalah yang terbaik pernah kami pamerkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kemenangan tersebut, pemain berusia 25 tahun itu memberitahu, jika pemain lain menyalahkan angin sebagai punca aksi terganggu, tetapi berbeza baginya yang berasakan faktor tiupan angin sedikit sebanyak membantu kejayaan mereka.
Pada suku akhir, Anna dan Mei Xing bakal menghitung pertemuan sama ada menentang pilihan kelima dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara atau beregu Thailand, Puttita Supajirakul-Supissara Paewsampran.
Sementara itu, Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, tiada penyesalan dipihaknya kerana tumpas kepada Shesar dihadapan penyokong sendiri.
“Lawan saya itu bukanlah pencabar yang mudah, jadi tiada penyesalan. Saya dah bermain habis-habisan, kalau inilah keputusannya saya kena terima,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kekalahan itu mendedahkan kelemahannya sebelum Kejuaraan Dunia yang berlangsung pada 22-28 Ogos ini di Tokyo, Jepun, jelas Zii Jia, menang atau kalah adalah satu perkara biasa dan hanya dirinya lebih mengetahui tahap sebenar permainannya.
“Malah, ia tidak menjejaskan keyakinan saya sama sekali kerana saya tahu tahap permainan saya sendiri,” tegasnya.