Wai Ching terus harumkan nama Malaysia - Utusan Malaysia

Wai Ching terus harumkan nama Malaysia

Wai Ching (tengah)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh larian menara dunia Soh Wai Ching sekali lagi mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah di New York, Amerika Syarikat apabila dia menjuarai pertandingan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza pada Sabtu lalu.

Kehebatan pelari berusia 27 tahun itu bagaikan sukar digugat apabila dia menguasai perlumbaan mendaki 55 tingkat bangunan dengan 1,210 anak tangga itu menerusi catatan rekod baharu 5 minit 29 saat, mengatasi rekod lama berusia sembilan tahun 5:53 milik Tim Donahue.

David Roeske menduduki tangga kedua dengan masa 6:46 diikuti Stephen Marsalese 7:19 manakala Maria Elisa Lopes Pimentel dari Mexico memenangi kategori wanita dengan masa 7:20.

“Saya hadir di New York lapan hari lalu dengan misi untuk menyertai dua pertandingan, Tunnel to Towers Climb NYC di One World Trade Center dan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza.

“Misi saya berjaya dipenuhi dengan memenangi kedua-dua pertandingan selain rekod baharu lapangan pada pertandingan kelmarin. Setakat ini, saya menang lapan daripada sembilan pertandingan tahun ini dengan satu penamat tangga kedua,” kata Wai Ching, yang berasal dari Selayang, Selangor.

Wai Ching merampas ranking nombor satu dunia genap sebulan lalu daripada seteru utamanya Piotr Lobodzinski dari Poland namun dia tewas buat kali pertama sejak Disember 2019 pada Kejohanan Larian Menara Eropah di Warsaw bulan lalu.

Kejayaannya menghuni ranking nombor satu dunia mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengutuskan ucapan tahniah di laman sosial beberapa hari lalu.

Bagaimanapun Wai Ching kehilangan penaja utama Tenaga Nasional Berhad pada Februari lalu dan kekurangan penaja menyebabkannya terpaksa mengehadkan penyertaan pada pertandingan antarabangsa.

“Sepatutnya saya bertanding di Perth, Australia bagi pertandingan Step Up For MSWA di Central Park pada 19 Jun ini tetapi disebabkan kekurangan dana, saya tidak mampu menyertainya. Tiket penerbangan agak mahal untuk ke sana,” katanya yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Amat gembira dengan kemenangan berganda di New York dan mengibarkan Jalur Gemilang megah dua kali dalam tempoh seminggu. Dua kemenangan berturut-turut setakat ini sejak 5 Jun lalu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya