Wai Ching bangkit, 'tawan' New York - Utusan Malaysia

Wai Ching bangkit, ‘tawan’ New York

Pelari menara negara Soh Wai Ching tawan One World Trade Center.- Facebook Soh Wai Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Pelari menara negara Soh Wai Ching tidak menunggu lama untuk bangkit meraih kejayaan semula apabila mengungguli pertandingan ‘Tunnel to Towers Climb NYC’ di New York, Amerika Syarikat (AS),kelmarin.

Kejayaan itu sekali gus menebus kehampaan selepas rekod kemenangan 19 kali berturut-turut lebur bulan lalu.

Jaguh nombor satu dunia itu, menguasai pertandingan mendaki 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center dengan catatan 12 minit 46 saat, meninggalkan pencabarnya lebih tiga minit di belakang.

Pelari Amerika Syarikat (AS), Shari Klarfeld di tempat kedua dengan catatan 15:53 sekali gus menjuarai kategori wanita keseluruhan manakala seorang lagi pelari wanita Maria Elisa Lopez Pimentel dari Mexico di tangga ketiga dengan masa 16:02.

Roberto Velazquez Leyva dari Mexico meraih tangga kedua kategori lelaki dengan masa 16:52 manakala pelari tempatan New York, Stephen Marsalese di tangga ketiga 17:07.

“Persiapan saya tidak begitu bagus menjelang pertandingan ini tapi saya melakukan apa yang sepatutnya berbekalkan prestasi semasa dan memenanginya.

“Kini saya lebih faham dengan struktur anak tangga di sini dan tidak sabar untuk kembali tahun depan dan memperbaiki catatan masa saya.

“One World Trade Center satu bangunan ikonik yang menghargai pengorbanan semua wira insiden 9/11,” kata Wai Ching, yang tewas buat kali pertama sejak Disember 2019 di Warsaw, Poland hujung bulan lalu.

Dianjurkan oleh yayasan Tunnels to Towers Climb sejak tahun 2015, dana yang dikumpul menerusi perlumbaan itu disalurkan kepada pertubuhan yang membantu mangsa serangan pengganas pada 11 September 2001 yang menyaksikan Twin Towers musnah.

Ia kemenangan keenam atlet berusia 27 tahun dari Selayang itu tahun ini, selepas Larian M1 di Dubai (5 Februari), Big Climb Dallas (26 Mac), Big Climb Seattle (27 Mac), Big Climb Houston (2 April) dan Fight for Air Climb San Francisco (9 April).

Wai Ching akan meneruskan perjuangannya memburu kegemilangan dalam sukan itu apabila beraksi pada perlumbaan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York pada 11 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya