SEREMBAN: Pasukan tinju negara akan berlepas ke Thailand untuk menguji kekuatan minggu depan sebagai persiapan akhir menghadapi Sukan Komanwel, bulan depan.
Kejohanan itu dianggap pemanas badan terakhir untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan petinju Malaysia sebelum bertarung di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
“Daripada kejohanan di Thailand kita boleh mendapat gambaran keupayaan skuad tinju negara yang akan dipamerkan dalam Sukan Komanwel kelak.
“Kami berharap dapat sampai ke peringkat separuh akhir dan memungut pingat di Birmingham nanti,” kata Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro selepas melawat kem latihan pasukan tinju di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Mohd. Shamsul Deran berkata, dua petinju masing-masing berusia 21 tahun bakal menggalas cabaran negara dalam acara 48 kilogram (kg) dan 51kg.
“Tidak mustahil mereka akan membawa pulang pingat jika mempamerkan prestasi yang ditunjukkan dalam sesi latihan dan kejohanan yang disertai sepanjang persiapan untuk Sukan Komanwel,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peninju terbabit, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, 21, berkata, dia akan hadir bertanding di Sukan Komanwel kali ini bagi memberikan saingan terbaik kepada peninju lain sekali gus meraih pingat untuk negara.
Katanya, dirinya kini berada pada tahap 90 peratus bersedia selepas menamatkan aksi dalam Kejohanan Golden Glove di Perlis baru-baru ini.
“Saya akan menggunakan masa kira-kira sebulan sebelum Sukan Komanwel kali ini untuk mengemas kini dan memperbaiki skil serta teknik,” ujarnya.
Muhammad Abdul Qaiyum berkata, dia mendapat sokongan yang padu dari rakan-rakan peninju, jurulatih dan PTM untuk menunjukkan aksi terbaik walaupun ini adalah kali pertama dirinya mengambil bahagian dalam kejohanan yang besar seperti Sukan Komanwel.