BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand menandatangani peraturan kementerian bagi menjadikan bunga ganja sebagai ‘herba terkawal’.
Menterinya, Anutin Charnvirakul berkata, undang-undang akan menentukan individu yang dibenarkan dan tidak dibenarkan mengakses bunga yang kaya dengan Tetra Hydrocannibol (THC).
Jelasnya, undang-undang itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja ia diterbitkan dalam Warta Diraja.
“Kebenaran penggunaan ganja secara rekreasi di Thailand menjadi punca kekeliruan utama sejak tumbuhan itu dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarang Kategori 5 Thailand, 9 Jun lalu.
“Arahan yang jelas adalah ekstrak yang dibuat daripada tumbuhan tidak boleh mempunyai kandungan THC lebih 0.2 peratus,” katanya lapor Thaiger.
Undang-undang baharu menetapkan individu yang boleh mengakses ‘herba terkawal’ mestilah berumur lebih 20 tahun.
Wanita hamil dan menyusu dilarang mengakses herba tersebut dan pesakit yang mendapat preskripsi ganja boleh memiliki herba tersebut selama tidak lebih 30 hari.
Bagaimanapun, pemilikan bunga atau tunas ganja agak sukar dikawal melalui peruntukan undang-undang.
Selepas Thailand membenarkan penanaman ganja di rumah dan tumbuhan tersebut tidak lagi dianggap sebagai dadah, orang ramai ingin mengetahui sama ada menghisap ganja adalah sah atau sebaliknya.
Pemilikan mana-mana bahagian tumbuhan ganja adalah sah, tetapi asap ganja dianggap sebagai ‘gangguan awam’.
Ini bermakna, menghisap ganja di khalayak ramai adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara tiga bulan dan denda tidak melebihi 25,000 baht (RM3,122) jika ada individu melaporkannya.
Bagaimanapun, jika tiada individu yang menganggap asap ganja menyebabkan gangguan awam, menghisap ganja di ruang persendirian secara teknikalnya adalah tidak melanggar undang-undang.
Sejak kebenaran penanaman ganja, banyak kedai muncul di seluruh Thailand seperti Sukhumweed di Sukhumvit Soi 42, Bangkok, yang membenarkan pengunjung membeli bunga ganja dalam pelbagai perisa.