PETALING JAYA: Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengetuai kem negara di hari kedua Kejohanan Terbuka Indonesia apabila mara ke pusingan seterusnya.
Aaron dan Wooi Yik diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan berentap dengan wakil Korea Selatan, Kim Gi Jung dan Kim Sa Rang, dipaksa beraksi tiga set, sebelum menoktahkan dengan kemenangan 21-18, 11-21, 21-11.
“Saya boleh katakan badan kami masih belum pulih sepenuhnya, dan saya pun tak terlalu fikirkan sangat mengenai perlawanan hari ini, tetapi apa pun kami cuba berikan yang terbaik, tak kira menang atau kalah.” ujar Aaron.
Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui pada set kedua mereka kehilangan rentak dan banyak melakukan kesilapan tetapi bangkit pada set seterusnya.
“Saya hilang rentak seketika di set kedua, namun cuba carinya kembali di set seterusnya. Banyak kesilapan dari pihak kami, tapi kami berusaha untuk ulangi apa yang kami persembahkan di Indonesia Masters minggu lalu.”jelasnya.
Bagaimanapun nasib rakan sepasukan, Nur Izzudin Rumsani dan Goh Sze Fei tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh wakil tuan rumah, Fajar Alfian dan Rian Ardianto,21-19.21-14.
Turut alami nasib sama, perseorangan lelaki profesional negara, Liew Darren tunduk kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 21-19,21-18.
Bagaimanapun, barisan pemain beregu campuran negara tidak mengecewakan apabila gandingan Chan Peng Soon dan Cheah Yee See lolos ke pusingan kedua selepas menindakkan cabaran wakil England, Marcus Ellis dan Lauren Smith, 21-15, 21-16.
Pertembungan sesama Malaysia iaitu Cheng Tang Jie yang berpasangan dengan pemain muda Valeree Siow menampakkan aura positif apabila menafikan rakan sepasukan Choong Hon Jian dan Peck Yen Wei, 21-17, 21-14.