PETALING JAYA: Sekiranya skuad Harimau Malaya menerima ganjaran daripada kerajaan di atas kejayaan ke Piala Asia 2023 bermakna skuad hoki negara yang layak ke Piala Dunia seharusnya menerima habuan sama.
Lagenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berbesar hati dengan cadangan kerajaan untuk memberikan ganjaran buat pemain Speedy Tigers yang layak ke Piala Dunia di India tahun depan.
Hoki antara sukan yang cemerlang di negara ini apabila layak buat kali kesembilan ke Piala Dunia dengan pencapaian terbaik skuad Speedy Tigers adalah ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada tahun 1975.
Mirnawan yang juga merupakan pengurus pasukan hoki negara berkata, sebagai bekas pemain, dia sangat memahami pemberian insentif sebegini akan dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada pemain.
“Saya sememangnya mengalu-alukan pertimbangan dan kenyataan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
“Kerana sebagai bekas pemain dan pengurus pasukan skuad hoki negara, saya tahu apabila imbuhan diberikan kepada pemain, ia akan memberikan motivasi yang amat tinggi. Dengan itu, ia akan memastikan mereka lebih berusaha keras.
“Dan saya juga amat pasti bahawa pasukan hoki negara ketika ini berada di landasan terbaik dan betul untuk mendapatkan satu keputusan yang membanggakan dalam Piala Dunia yang akan datang ini,” katanya.
Skuad bimbingan jurulatih, Arul Selvaraj mengesahkan slot ke Piala Dunia 2023 selepas berjaya menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik dalam kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Indonesia bulan lalu.
Dalam kejohanan itu, Skuad hoki kebangsaan muncul naib juara Piala Asia 2022 selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi final di Stadium di Gelora Bung Karno.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bersedia mempertimbangkan ganjaran kepada Harimau Malaya atas kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam menentukan bentuk pemberian imbuhan kepada Speedy Tigers. – UTUSAN