LARUT: Pas mungkin dibenarkan menggunakan logo partinya sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan mengenai Pas untuk menggunakan logo sendiri adalah satu daripada strategi pada PRU15.
“Begitupun perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN. Hasil perbincangan akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita semasa majlis Kenduri Kampung Anak Kurau di Batu Kurau, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini yang memberi bayangan parti itu akan menggunakan logonya sendiri pada PRU15.
Menurut Hashim, menggunakan logo sendiri dijangka memberi kelebihan kerana logo ‘bulan’ Pas telah telah dikenali dan digunakan parti itu sejak 70 tahun lalu.
Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Pas Perak yang sedia menawarkan kerusi untuk ditandingi Ahli Parlimen Pasir Salak dari UMNO, Datuk Seri Tajuddin pada PRU15.
Hamzah berkata, semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran sedemikian.
“Saya kira itu hanyalah sekadar cadangan, segala keputusan muktamad kelak terletak kepada pucuk pimpinan. Jadi saya tak perlu untuk membuat ulasan lanjut tentang perkara itu,” katanya. – UTUSAN