PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Program Citra Malaysia Colours of Malaysia yang telah membuka tirainya 28 Mei lalu.
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, program yang dilaksanakan secara berkala ini bertujuan mempamerkan kebudayaan negara melalui acara-acara yang dipersembahkan di pelbagai peringkat dalam usaha memelihara seni dan budaya tempatan.
“Secara langsung juga, program ini akan dapat mempromosi seni budaya Malaysia kepada masyarakat Malaysia dan pelancong luar negara.
“Ini merupakan tahun ketiga penganjuran program ini, namun pada 2021 pelaksanakan diadakan secara dalam talian disebabkan pandemik covid-19 yang melanda dunia dan tidak membenarkan persembahan secara fizikal dan terbuka dilaksanakan,” katanya.
Program Citra Malaysia Colours of Malaysia 2022 merupakan siri persembahan yang menampilkan keunikan dan kepelbagaian dalam kesenian dan kebudayaan Malaysia.
Sebanyak 45 siaran dengan pelbagai tema telah berjaya dilaksanakan di peringkat JKKN Ibu Pejabat dan juga JKKN Negeri dengan jumlah sebanyak 66,613 penonton yang disiarkan secara langsung di saluran Facebook Mysenibudaya JKKN.
Dalam pada itu, Mesran berkata, Colours of Malaysia ini juga menjadi salah satu elemen tarikan pelancong kerana program ini mampu memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi persembahan seni dan budaya Malaysia dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.
“Pada tahun ini, konsep pelaksanaan Citra Malaysiadiadakan secara fizikal dan dipersembahkan oleh artis budaya JKKN selama satujam mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.
“Terdapat lima siri persembahan yang menampilkan persembahan asli dan authentic Malaysia dengan gabungan tarian dan muzik yang merangkumi kaum Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak, etnik minoriti di Malaysia serta persembahan kreasi baharu mengikut tema dan konsep.
“Terdapat lima siri persembahan yang akan dilaksanakan mengikut tema di beberapa lokasi antaranya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dan La Park Jalan Conlay, Pavillion. Selain persembahan menarik dari Kumpulan Kesenian JKKN, juga menampilkan khas penyanyi terkenal Hazama dan Azizzul Haqim,” katanya.
“Dengan penganjuran program Citra Malaysia yang dilaksanakan secara fizikal pada tahun ini, saya berharap agar orang ramai dapat memanfaatkan peluang ini untuk sama – sama hadir dan menyokong JKKN dalam usaha untuk menyemarakkan industri seni budaya negara agar terus kekal dan terpelihara”, katanya.