Pijak pemuda hingga mati, peniaga dijatuhkan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Pijak pemuda hingga mati, peniaga dijatuhkan hukuman gantung

S. Pandiaraj diiring keluar dari Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka selepas hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memijak kepala seorang pemuda tidak dikenali sehingga maut, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Pandiaraj, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pembelaan.

Tertuduh kelihatan tenang sambil menoleh ke belakang memandang wajah ahli keluarganya semasa hukuman itu  ditetapkan. 

Ahmad Nafsy dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti keterangan fakta forensik dan laporan bedah siasat,  mahkamah mendapati mangsa, S. Ammos Devaprraven, 27, meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan jalan raya.

Katanya, mahkamah mendapati kecederaan dialami si mati adalah tidak konsisten dengan impak nahas, sebaliknya kematian itu disebabkan tindakan tertuduh yang mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas bagi mencapai niat bersama melakukan  bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap S. Ammos Devaprraven.

Tindakan itu dilakukan di Jalan Tun Ali kira-kira pukul 4.30 pagi pada 23 Oktober 2016.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Pihak pendakwaan iaitu Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli dalam hujahan menegaskan dua saksi mengatakan mangsa dipijak di kepala oleh tertuduh  selama satu minit. 

Ujarnya, saksi kemudian membawa mangsa  ke Hospital Melaka dan membuat laporan palsu bahawa si mati dilanggar lari. Saksi bagaimanapun selepas itu menghubungi abang si mati memaklumkan adiknya dipijak di muka. 

Menurut saksi, kejadian itu berlaku disebabkan tertuduh tidak berpuas hati dengan kata-kata mangsa yang mengeluarkan perkataan ‘orang mabuk apa dia cakap hari ini, esok dah lupa’.

Terdahulu, seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala hanya tertuduh mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2018. Tertuduh diwakili Peguam Paul Krishnaraja. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya