KUALA LUMPUR: Beregu wanita No. 10 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah menjadi mangsa kejutan terbaharu apabila ditunjukkan jalan keluar pasangan bukan pilihan dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam.
Gandingan Malaysia itu tumpas menerusi kekalahan straight set 19-21, 14-21 dalam tempoh 48 minit.
Kelmarin, beregu No. 33 dunia itu mengejutkan pilihan ketujuh, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand juga dengan kemenangan dua set 21-10, 21-8.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Thinaah mengakui, beregu China itu bermain dengan cukup sabar dan tenang sehingga mampu mendominasi pertemuan tersebut tanpa sebarang masalah.
“Pasangan China ini bermain dengan sangat tenang, kita pula terikut-ikut rentak mereka.
“Kesabaran dan ketenangan yang dimiliki lawan memberi banyak kelebihan kepada mereka,” katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu memberitahu, fokus mereka selepas ini ialah kepada Malaysia Masters yang akan bermula minggu depan.
“Kami akan berehat secukupnya dan buat persediaan menjelang Malaysia Masters. Kami tidak akan sertai Terbuka Singapura untuk beri fokus kepada Sukan Komanwel,” ujarnya.
Turut menerima nasib serupa tersingkir seawal pusingan kedua adalah dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Valeree Siow dan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang kalah kepada lawan masing-masing.
Tang Jie-Valeree tewas kepada pilihan kedua, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China menerusi kekalahan straight set 21-16, 21-10.
Soon Huat-Shevon pula akur kepada pasangan Korea Selatan, Kim Wan Ho-Jeong Na Eun menerusi kekalahan rubber set 21-10, 18-21, 17-21.