Memang ada pemandu teksi 'cekik darah'

Memang ada pemandu teksi ‘cekik darah’

PERKHIDMATAN teksi di CIQ Bangunan Sultan Iskandar menggunakan sistem kupon bagi mengelakkan berlakunya insiden pemandu teksi 'cekik darah' di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Terdapat segelintir pemandu teksi mengenakan tambang tidak munasabah terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka khususnya di kawasan JB Sentral, di sini.

Penyelia Penyelaras Teksi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Wahid Mohd. Yasin berkata, perkara itu diakui berlaku namun hanya melibatkan segelintir kecil golongan pemandu teksi.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tetap merosakkan imej pemandu teksi secara keseluruhannya khususnya dalam kalangan pengguna.

“Saya sedar sejak kebelakangan ini heboh orang kata pemandu teksi di CIQ Bangunan Sultan Iskandar kenakan caj melampau sehingga disifatkan sebagai cekik darah. Saya tidak menafikan ada segelintir yang berbuat demikian.

“Namun saya mahu jelaskan perkara itu bukan berlaku di kaunter teksi CIQ Bangunan Sultan Iskandar , sebaliknya berlaku di kaunter teksi di JB Sentral yang terletak berdepan pusat beli-belah Johor Bahru City Square.

“Di sini (CIQ), perkhidmatan teksi yang disediakan menggunakan sistem kupon jadi penumpang hanya perlu membayar harga yang ditetapkan dan tiada cas tambahan dikenakan,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu, Wahid yang juga merupakan Setiausaha Gabungan Teksi Daerah Johor Bahru itu menasihatikan orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan teksi agar berkunjung ke kaunter teksi di CIQ Bangunan Sultan Iskandar .

“Situasi berbeza di JB Sentral kerana di sana tiada pihak yang memantau perkhidmatan teksi berkenaan sehingga menyebabkan segelintir pemandu teksi mengambil kesempatan berbuat demikian,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Mohd. Yasin Mohd. Salleh, 56, turut mengakui perkara sama berlaku di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu namun ia terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kini apabila urusan orang ramai kembali normal, kegiatan tidak bertanggungjawab ini turut kembali. Geram juga kerana ramai pemandu lain bekerja ikut undang-undang dan guna meter untuk setiap perjalanan, tetapi sebaliknya kerana segelintir yang tidak bertanggungjawab. Habis terpalit semua pemandu teksi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Loh Jun Yu, 24, berkata, dia dan kakaknya antara individu yang pernah menjadi mangsa pemandu teksi cekik darah seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

“Dahulu saya selalu naik teksi, namun setelah dikena tambang RM80 untuk perjalanan dari JB Sentral ke Permas Jaya, saya serik. Teknik digunakan mereka adalah tidak beritahu harga tambang terlebih dahulu, namun setelah tiba di lokasi dituju mereka terus memberitahu harga tambang yang mahal itu.

“Selain itu, kakak saya sendiri pernah diminta harga tambang sehingga RM120 untuk perjalanan daripada JB Sentral ke Larkin Sentral yang jaraknya tidak terlalu jauh,” katanya yang kini menjadikan perkhidmatan e-hailing sebagai pilihan utama.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui, Tan Zhi Yong, 29, pula memberitahu, dia sudah lama tidak menggunakan perkhidmatan teksi khususnya selepas perkhidmatan e-hailing diperkenal.

“Saya tahu ramai pemandu teksi yang berbuat demikian, ramai juga rakan-rakan bercerita mereka menjadi mangsa. Jadi saya memilih menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk mengelakkan diri daripada terkena perkara sama.

“Perkhidmatan e-hailing ini memang ada ketikanya harganya lebih mahal daripada biasa, tetapi dalam keadaan penumpang sudah tahu terlebih dahulu dan bersetuju dengan harga berkenaan. Lagipun majoriti kenderaan e-hailing lebih selesa untuk dinaiki,” katanya yang sudah bekerja di Singapura sejak lima tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya