Lima pokok ketum boleh jana ribuan ringgit

Lima pokok ketum boleh jana ribuan ringgit

LIMA hingga 10 batang pokok ketum sudah mampu membantu pengusaha menjana pendapatan ribuan ringgit jika tanaman tersebut dibenarkan untuk tujuan eksport. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ketum jika ‘dihalalkan’ untuk tujuan eksport sememangnya mampu membantu penduduk luar bandar khususnya dalam menjana pendapatan tambahan.

Malah, mereka yang mempunyai lima atau 10 batang pokok dikatakan cukup membantu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Difahamkan, sebatang pokok ketum boleh menghasilkan lima hingga 10 kilogram daun untuk sekali kutip dengan hasil jualan boleh mencecah RM200 setiap dua minggu.

Jumlah itu adalah kiraan bagi harga pasaran RM20 sekilogram dan jika daun ketum dijual di Thailand harganya boleh mencecah RM100 sehingga RM150 bagi setiap kilogram.

Tanaman ketum di negeri ini dianggarkan seluas 1.75 hektar yang merangkumi ladang, kebun kecil serta kawasan persendirian di kampung-kampung.

Di Kedah, jumlah keluasan tanaman ketum di seluruh negeri itu pula dianggarkan kira-kira 140 hektar melibatkan 84,577 batang pokok dengan jumlah petani yang terlibat dalam tanaman pokok tersebut pula seramai 177.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini bahawa tanaman ketum mampu membantu menjana pendapatan sememangnya ada kebenaran kerana mendapat permintaan tinggi di Thailand dan harganya mencecah ratusan ringgit sekilogram.

“Sebagai contoh, saya mempunyai kira-kira 74 pokok ketum di belakang rumah. Kesemua pokok itu mampu menghasilkan kira-kira 740 kilogram daun ketum sekali kutip dan jika terjual dengan harga serendah RM15 sekilogram, sudah mampu menjana pendapatan lebih RM22,000 sebulan.

“Namun sayangnya, kerajaan belum membenarkan penanaman ketum untuk tujuan komersial dan eksport tumbuhan berkenaan sedangkan negara jiran sudah meraih hasil daripada ketum,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia mampu menjana pendapatan sehingga RM2 bilion setahun jika ketum dibenarkan untuk tujuan eksport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN